KERJASAMA dan kesediaan industri  elemen terpenting sebagai penentu kepada tempoh masa untuk industri mendapatkan pensijilan halal.
KERJASAMA dan kesediaan industri elemen terpenting sebagai penentu kepada tempoh masa untuk industri mendapatkan pensijilan halal.
Hakimah Mohd Yusoff

Sejak sekian lama, Pensijilan Halal Malaysia menjulang nama baik Malaysia di persada antarabangsa dengan pensijilan halal yang unggul lagi berintegriti. Asas kepada integriti ini adalah Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) dilaksanakan berdasarkan standard yang dibangunkan oleh Jabatan Standard Malaysia berlandaskan Akta Standard Malaysia (Akta 549) 1996 yang menepati piawaian International Organization for Standardization (ISO).

Di samping itu, SPHM ini juga dilaksanakan berdasarkan skim pensijilan serta Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia yang sentiasa dikemaskini dari semasa ke semasa.

Di sebalik pandangan positif yang membanggakan, tidak dinafikan masih terdapat persepsi negatif dalam kalangan pemain industri yang menganggap permohonan SPHM sebagai sukar dan lambat.

Sesetengah daripada persepsi ini membandingkan SPHM dengan permohonan cukai jalan dan pasport imigresen yang perlu selesai dalam tempoh sesingkat satu hari.

Biarpun terdapat kelulusan segera diberikan, ia tertakluk syarat tertentu terkandung dalam MPPHM (Domestik) 2020 dan Sistem Pengurusan Halal Malaysia (MHMS) yang menekankan aspek jaminan kesucian, kebersihan dan keselamatan produk/ perkhidmatan dikeluarkan.

Inilah dikaitkan dengan integriti Pensijilan Halal Malaysia yang kini diakreditasi sebagai badan pensijilan yang mendapat pengiktirafan ISO/IEC 17065 oleh Jabatan Standard Malaysia.

Dalam perkembangan terkini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad mengumumkan pencapaian sasaran 100 hari apabila sebanyak 80 peratus permohonan pensijilan halal Malaysia oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berjaya diselesaikan dalam masa kurang daripada tempoh 30 hari bekerja bagi permohonan yang tidak mempunyai teguran audit. Baki 20 peratus daripada jumlah permohonan itu adalah dalam status tindakan audit.

Untuk menilai aspek pematuhan, proses pensijilan halal akan melalui proses semakan kecukupan dokumen, pembayaran fi pensijilan dan proses audit termasuk analisis halal (jika berkaitan) sebelum dibentangkan dalam Mesyuarat Panel Pengesahan Halal Malaysia yang forumnya terdiri daripada syariah dan teknikal daripada beberapa agensi berkaitan.

Sepanjang proses permohonan ini berjalan, kerjasama dan kesediaan industri menjadi elemen terpenting yang menjadi penentu kepada tempoh masa untuk industri mendapatkan pensijilan halal. Ia meliputi persediaan awal industri sebelum permohonan dan ketika permohonan dibuat dan selepas pensijilan.

Pada fasa prapermohonan, kesediaan industri sangat bergantung pada kesungguhan untuk memahami standard dan skim pensijilan yang dibangunkan. Untuk mencapai kefahaman yang tuntas, industri dicadangkan terlebih dahulu mengikuti latihan dan bimbingan halal daripada penyedia latihan halal yang diiktiraf Jakim di seluruh Malaysia.

Melalui kursus halal itu, pemohon bukan saja dapat memahami ilmu berkaitan pensijilan halal, piawaian halal, kaedah untuk membuat permohonan halal malah dapat melihat sejauh mana integriti pensijilan halal Malaysia yang dicanangkan sebagai terbaik di peringkat global.

Dengan pemahaman yang jelas, elemen kesucian, kebersihan peralatan dan premis, keselamatan produk dihasilkan, kebolehkesanan dan kawalan bahan mentah digunakan, pelabelan dan pengiklanan, pengangkutan, kecukupan pekerja Muslim, dokumentasi dan rekod serta sistem pengurusan halal Malaysia yang berkesan akan menjadi fokus utama untuk dilaksanakan oleh industri halal.

Kesediaan industri atau pemohon pada fasa permohonan pensijilan halal pula diukur berdasarkan komitmen dan pematuhan industri kepada piawaian dinyatakan dalam Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Domestik) 2020. Ia termasuk kecukupan dokumen yang dihantar, komitmen menjawab surat tidak lengkap dikeluarkan oleh pegawai penyemak, kesegeraan membuat pembayaran fi pensijilan yang dikeluarkan, kesediaan untuk diaudit pada masa dijadualkan, kesungguhan dalam menjawab ketidakakuran dikeluarkan oleh auditor dan komitmen industri untuk melaksanakan sistem jaminan halal di premis.

Tanpa perlu menafikan komitmen di peringkat kerajaan, ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Jakim bersama Jabatan Agama Islam Negeri (Jain) komited merancakkan perkembangan industri halal di Malaysia dengan memudahkan urusan penghantaran dokumen melalui e-mel dan audit secara kawalan jauh dilakukan bagi memastikan semua industri yang memohon memperoleh pensijilan halal. Bahkan ia menunjukkan peningkatan sembilan peratus permohonan yang diterima dan diproses oleh Jakim dan Jain pada 2020 berbanding 2018.

Selain itu, pelbagai usaha penambahbaikan yang berterusan diambil melalui kerjasama yang erat antara pihak berkuasa berwibawa dan penggiat industri. Dalam konteks ini, Jakim dan Jain selaku pihak berkuasa berwibawa dalam pensijilan halal sentiasa prihatin dan aktif menggerakkan program kesedaran melalui kerjasama dengan pihak bertanggungjawab membantu mempersiapkan usahawan mikro serta kecil untuk melayakkan mereka membuat permohonan SPHM.

Pada 17 Ogos 2021 yang lalu, Jakim mengambil inisiatif menghimpunkan sebanyak 30 agensi pembimbing usahawan daripada lima kementerian untuk memberi pendedahan terhadap isu yang melibatkan kesediaan usahawan dan tanggungjawab yang perlu ditunaikan untuk memastikan kelulusan permohonan SPHM diperoleh segera. Penglibatan agensi pembimbing usahawan dalam proses permohonan SPHM adalah untuk melengkapi kekurangan pada usahawan mikro dan kecil daripada aspek siap siaga pengeluaran produk seperti Amalan Kebersihan Yang Baik (GHP), Amalan Pengilangan Yang Baik (GMP), pelabelan, sumber manusia dan sebagainya.

Aspek GMP misalnya, adalah elemen yang penting untuk memastikan produk yang dihasilkan adalah bersih dan selamat selari tuntutan Islam. Maka, adakah wajar jika dikatakan aspek sebegini bersifat menyusahkan usahawan? Hakikatnya, ia memberi nilai tambah yang sangat bermakna kepada produk keluaran tempatan. Bak kata pepatah 'Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya'.

Ringkasnya aspek pematuhan halal bukan sahaja dinilai meliputi seluruh aspek rantaian pengeluaran sesuatu produk yang dipersijilkan halal, malah mencakupi aspek 'halalan toyyiban' yang dianjurkan oleh syariat Islam. Oleh itu, tempoh pensijilan halal yang dikatakan lambat dan sukar ini kembali komitmen bersama di antara pihak kerajaan dan industri yang mahu membuat penambahbaikan dalam proses pengeluaran produk/perkhidmatan agar menepati konsep halalan toyyiban.

Penulis Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Disember 2021 @ 6:00 AM