FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: Majlis Ugama Islam Sabah (Muis) mengesahkan produk makanan kek bulan keluaran sebuah syarikat yang beroperasi di sini, tidak halal berikutan terdapat DNA babi yang dikenal pasti di dalamnya.

Setiausaha Muis, Ramlan Awang Ali dalam satu kenyataan media semalam berkata, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) bersama Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah sudah melakukan pemantauan berikutan terdapat aduan dibuat mengenainya.

Menurutnya, pemantauan terbabit dibuat pada 23 September selepas menerima aduan secara terhadap syarikat itu pada 16 September lalu.

"Muis menerima laporan secara bertulis itu pada 16 November dari pihak JHEAINS dan memanggil pihak syarikat yang datang ke pejabat Muis pada 19 November lalu, bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkara itu.

"Muis mendapati bahawa Sijil Halal syarikat itu sudah tamat tempoh pada 15 Mei dan syarikat itu mengakui kesilapan yang berlaku.

"Pihak kita berpandangan bahawa syarikat ini melakukan ketidakakuran syariah yang berkaitan dengan produk makanan kek bulan yang dikeluarkan oleh syarikat itu.

"Ini dibuktikan melalui keputusan ujian makmal dari Jabatan Kimia Malaysia, Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, bertarikh 1 November, yang menyatakan keputusan analisa DNA haiwan bagi sampel produk Port View Moon Cake menunjukkan adanya DNA babi," katanya.

Mengulas lanjut, Ramlan berkata, pihaknya memandang serius mengenai pelanggaran dan ketidakakuran syariah serta bertentangan dengan dasar syarak dalam produk makanan yang mempunyai DNA babi.

"Oleh itu, Muis mengambil tindakan dengan membekukan akuan permohonan pembaharuan syarikat ini dalam sistem MyeHalal dan menarik balik Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) syarikat ini.

"Sehubungan dengan penarik balik SPHM ini, syarikat ini adalah dilarang sama sekali menggunakan SPHM dan logo Halal Malaysia untuk sebarang tujuan perniagaan, publisiti atau lain-lain di dalam atau di luar premis atas nama syarikat ini.

"Muis juga menasihatkan semua pihak yang menggunakan sijil dan logo halal Malaysia supaya menjaga kepentingan serta sensitiviti masyarakat Islam dalam memastikan makanan, produk atau barang gunaan yang dikeluarkan sentiasa patuh syariah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 November 2021 @ 8:09 AM