URUSAN jual beli dalam Islam ada syariat yang perlu dipatuhi oleh peniaga atau pembeli.
URUSAN jual beli dalam Islam ada syariat yang perlu dipatuhi oleh peniaga atau pembeli.
Mohd Fahimi Zakaria

PENIAGA Muslim wajib memelihara halal haram dalam urusan perniagaan termasuk di pihak pembeli, produk dan perkhidmatan, waktu perniagaan, lokasi atau tempat yang dijalankan dan sumber perniagaan yang diperolehi. Konsep  halalan toyyiban  ini mesti menjadi rukun jual dan beli dalam kalangan Muslim ketika menjual ataupun membeli supaya amalan muamalat harian kita sentiasa dikira sebagai ibadah di sisi Allah SWT. Ibadah dalam kehidupan Muslim bukan hanya solat, puasa dan zakat sahaja, tetapi termasuklah hal muamalat harian seperti berjual beli untuk meneruskan kelangsungan hidup dan melaksanakan tanggungjawab sebagai hamba Allah SWT dan manusia.

Al-Quran menyuruh umatnya makan apa sahaja yang ada di bumi ini dengan syarat ia mesti halal lagi baik (halalan toyyiban) dan jangan sesekali mengikut jejak langkah syaitan (Surah al-Baqarah: 168). Menurut Imam Ibnu Kathir bahawa urusan makan minum orang beriman termasuklah hal-hal berkaitan tempat makanannya, atau boleh difahami dengan maksud tempat dia berniaga dan bekerja. Beliau juga membawa hadis daripada Ibnu 'Abbas RA tentang peringatan Rasulullah SAW kepada Sa'ad bin Abi Waqas RA agar memelihara hal makan minumnya, pasti doanya diterima. Lalu Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah tidak akan menerima doanya selama 40 hari dan setiap daging yang tumbuh daripada makanan yang haram dan riba, maka api nerakalah yang layak baginya." (Riwayat at-Tabrani)

Bukan sahaja wang yang digunakan mesti halal, tetapi juga makanan yang dijual juga mesti baik. Makanan yang baik bukan hanya baik pada nama seperti nasi, mi goreng atau sup daging sahaja, tetapi juga mesti baik pada proses penyediaannya, soal akhlak penjualnya dan kualiti produknya. Begitu juga konsep  halalan toyyiban  ini pada aspek waktu perniagaan, contohnya perniagaan Muslim mesti menghormati waktu yang dilarang di sisi agama seperti menjalan perniagaan ketika waktu khutbah Jumaat termasuklah wanita yang tidak diwajibkan solat Jumaat sekalipun. Waktu larangan ini jelas melalui berdasarkan firman-Nya yang bermaksud: "Apabila diseru untuk mengerjakan solat Jumaat maka hendaklah segera menuju ke masjid dan tinggallah segala urusan jual beli." (al-Juma'ah: 9)

Seterusnya konsep  halalan toyyiban  juga termasuk aspek lokasi perniagaan yang dijalankan, contohnya premis atau gerai yang dibuka di petak parkir, di atas tanah milik orang, di hadapan rumah orang atau di tempat yang tidak sepatutnya. Petak parkir adalah tempat parkir kenderaan yang membayar sewa melalui kupon atau tiket yang dibayar kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) yang berhak atas kemudahan parkir yang disediakan oleh kerajaan. Justeru, tindakan segelintir peniaga yang sewenang-wenangnya membuka premisnya di petak parkir adalah amalan yang boleh memberi kesan kepada konsep  halalan toyyiban  dalam urusan perniagaannya sebagai seorang peniaga Muslim. Bahkan ia boleh mengganggu keselamatan awam seperti kenderaan yang terpaksa memakir secara dua atau tiga barisan (double/ triple park) disebabkan petak parkir dipenuhi dengan premis yang tidak berdaftar secara sah dengan PBT.

Justeru, peniaga Muslim wajib memahami bahawa konsep  halalan toyyiban  ini bukan hanya pada wang yang halal semata-mata, tetapi wajib juga halal pada sumber pendapatannya, waktu operasi, lokasi perniagaannya dan makanan yang menjadi sebahagian daripada jasadnya. Maka barulah konsep  halalan toyyiban  akan menjadi rukun perniagaan seorang Muslim yang akan mengundang ganjaran pahala yang besar dan keberkatan yang panjang. Peniaga Muslim hendaklah sentiasa berusaha untuk memelihara kewajipan ini agar rangkaian ekonomi Islam sentiasa bersambung dan bertali arus sehingga hasilnya dapat dinikmati oleh golongan fakir miskin dalam kalangan Muslim melalui zakat, sedekah dan bantuan. Jika peniaga Muslim tidak mengendahkan konsep ini, maka umat Islam akan menerima kesan buruknya yang akhirnya kesan itu hanya dianggap sebagai takdir semata-mata.  

Penulis Pensyarah Akademi Pengajian Bahasa Universiti Teknologi Mara, Shah Alam

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Julai 2023 @ 5:59 AM