Keadaan mayat seorang lelaki yang berbungkus dengan selimut ditemui ditinggalkan di kawasan kebun kelapa sawit di Jalan Kuala Tasek Machang Bubok, Bukit Mertajam, Sabtu lalu. FOTO Ihsan Pembaca
Keadaan mayat seorang lelaki yang berbungkus dengan selimut ditemui ditinggalkan di kawasan kebun kelapa sawit di Jalan Kuala Tasek Machang Bubok, Bukit Mertajam, Sabtu lalu. FOTO Ihsan Pembaca
Nur Izzati Mohamad


Bukit Mertajam: Kematian seorang lelaki warga asing yang mayatnya ditemui dalam keadaan berbungkus selimut di kebun kelapa sawit di Jalan Kuala Tasek Machang Bubok, di sini, Sabtu lalu, tiada unsur jenayah.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Tan Cheng San, berkata laporan bedah siasat yang diterima dari Unit Forensik Hospital Bukit Mertajam (HBM) mengesahkan lelaki itu meninggal dunia kerana saluran darah menyempit.

Menurutnya, dalam kejadian jam 2.55 petang itu, pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan mayat berbungkus dengan selimut.

"Hasil siasatan di lokasi kejadian mendapati mangsa masih berpakaian lengkap dengan berbaju T berwarna hijau dan berkain pelekat berwarna kelabu.

"Tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui bersama mayat dan dipercayai si mati bukan warga tempatan memandangkan tiada tanda suntikan vaksin 'Bacillus Calmette Gurrain' (BCG) ditemui pada bahu si mati," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Terdahulu, gempar penemuan mayat seorang lelaki tanpa identiti dalam keadaan berbungkus dengan selimut ditinggalkan di kawasan kebun kelapa sawit.

Mengulas lanjut, Cheng San berkata, melalui pemeriksaan yang dijalankan juga mendapati tiada kesan kecederaan seperti ditikam atau luka pada tubuh badan mangsa yang boleh dikaitkan dengan unsur jenayah.

"Mayat dibawa ke Unit Forensik HBM dan punca kematian adalah disebabkan saluran darah menyempit. Kes diklasifikan sebagai mati mengejut. Identiti mangsa masih belum dikenal pasti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 January 2024 @ 8:12 PM