Bukit Mertajam: Seorang pekerja ladang sawit terkejut selepas menemui mayat seorang lelaki yang disembunyikan di bawah pelepah kelapa sawit di sebuah ladang di Jalan Sungai Lembu, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, pekerja yang enggan dikenali itu berkata, ketika dia melalui kawasan berkenaan untuk membersihkan ladang dia terhidu bau busuk sebelum melihat sesuatu yang mencurigakan di bawah timbunan pelepah kelapa sawit.

“Saya lihat seperti tulang haiwan dan tidak menyangka ia adalah tangan manusia terkeluar dari timbunan pelepah kelapa sawit itu.

“Tulang berkenaan terjulur keluar dan kelihatan sudah dibaham haiwan liar,” katanya.

Difahamkan, terdapat tujuh kesan tikaman pada mayat mangsa yang masih belum dikenal pasti identitinya.

Menurutnya, dia segera memberitahu rakannya sebelum menghubungi polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Prai Tengah Asisten Komisioner Rusli Mohd Noor berkata, polis menerima panggilan daripada orang awam pada jam 5.55 petang kelmarin sebelum ke lokasi kejadian.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, mangsa dipercayai mati di tempat lain sebelum mayatnya dibuang di kawasan kebun kelapa sawit berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 September 2015 @ 5:09 AM