PENUNTUT UiTM Puncak Alam meredah bah termenung di Kampung Seberang Batu Badak, Segamat.
PENUNTUT UiTM Puncak Alam meredah bah termenung di Kampung Seberang Batu Badak, Segamat.
Ahmad Ismail


SEGAMAT: “Kami bukan hanya menjalani latihan amali untuk melengkapkan kursus ijazah diambil, malah kami berpeluang merasai sendiri pengalaman membantu mangsa banjir,” ujar penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, Shah Alam, Nur Aisya Wahida Zulkiflee, 22.

Menurutnya, dia sebelum ini menjalani latihan amali di Pejabat Kesihatan Segamat bersama empat lagi rakannya, Nur Ashikin Binti Mohamad 21, dari Negeri Kelantan, Nurul Ainnie Binti Roshlei, 22, Selangor, Nur Amiza Ezrin Binti Aminudin, 21, Johor Bharu dan Wan Nur Afiqah Binti Wan Omar, 22, dari Pahang mulai 8 September lalu.

“Kami merasai kesengsaraan mangsa bah termenung di Kampung Seberang Batu Badak di sini walaupun hujan sudah berhenti sejak minggu lalu.

“Kami tidak menyangka kedatangan kami ke daerah ini tepat pada masa ketika banjir besar berlaku. Ini sekali gus membolehkan kami memperoleh pelbagai ilmu yang berkait rapat dengan jurusan Kesihatan Persekitaran diambil di universiti.

“Kami dapati situasi banjir termenung dialami mangsa sebenarnya lebih buruk berbanding banjir biasa kerana paras air sukar diduga walaupun cuaca panas,” katanya.

Menurutnya, banjir surut dengan perlahan menyebabkan selut dan lumpur melekat di dinding rumah mangsa dan semakin sukar dibersihkan.

“Pengalaman ini amat bermakna dan kami sebenarnya turut trauma melihat kesengsaraan dilalui mangsa banjir yang terpaksa tinggal lama di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Kampung Batu Badak berbanding mangsa banjir lain.

“Selain membantu di PPS, kami dapat menaiki perahu untuk ke rumah mangsa banjir termenung untuk melihat sendiri persekitaran, bangkai haiwan ternakan dan sampah sarap yang terkumpul akibat banjir termenung,” katanya.

Menurutnya, antara yang dipelajari dalam jurusan Kesihatan Persekitaran termasuklah penjagaan kesihatan orang awam supaya tidak terkesan dengan wabak demam denggi, taun dan jangkitan kuman bawaan dan ia amat sesuai diamalkan kepada mangsa banjir.

Sementara itu, Ketua Kampung Seberang Batu Badak, Abu Hashim Hassan berkata, PPS Kampung Batu Badak dibuka sejak 15 Disember lalu menempatkan 80 mangsa daripada 20 keluarga banjir termenung dari Kampung Seberang Batu Badak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Disember 2019 @ 6:10 AM