Polis menahan seorang lelaki menyamar jadi polis  dalam Op Khas Cegah Jenayah Ambang Tahun Baru di Jalan Pandan Cahaya. FOTO IHSAN PDRM
Polis menahan seorang lelaki menyamar jadi polis dalam Op Khas Cegah Jenayah Ambang Tahun Baru di Jalan Pandan Cahaya. FOTO IHSAN PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi

Ampang Jaya: Tindakan seorang lelaki menyamar polis mengundang padah apabila ditahan dalam Op Khas Cegah Jenayah Ambang Tahun Baru di Jalan Pandan Cahaya di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, polis yang membuat rondaan pada 1.45 pagi itu menahan suspek yang berusia 27 tahun apabila menunggang motosikal dengan memakai vest tertera tulisan 'Polis'.

Menurutnya, suspek gagal tunjukkan kad kuasa polis dan gagal berikan alasan yang munasabah memakai vest terbabit.

"Pihak polis membuat rampasan motosikal, satu anak kunci, satu vest dan satu keping kad pengenalan.

"Hasil ujian saringan awal air kencing ke atas suspek dapati negatif dadah dan semakan dapati tiada rekod lampau," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Azam berkata, suspek kemudiannya direman empat hari sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan dan Seksyen 89 Akta Polis 1967.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 January 2024 @ 1:58 PM