PELAJAR Kolej KEDA menunjukkan sijil suntikan dos penggalak.
PELAJAR Kolej KEDA menunjukkan sijil suntikan dos penggalak.
Noorazura Abdul Rahman


Sik: Seramai 185 pelajar serta 54 kakitangan Kolej KEDA di sini menerima suntikan dos penggalak hasil kerjasama dengan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Sik, baru-baru ini.

Pengarah Kolej KEDA, Che Ridzuan Mohamad Isa berkata, suntikan dos penggalak diberikan kepada warga kolej itu bagi memastikan keselamatan kesihatan mereka ketika sesi pembelajaran dan pengajaran.

"Kita mempunyai seramai 275 pelajar, selepas dibuat penilaian oleh PKD Sik, seramai 185 pelajar berusia antara 18 hingga 25 tahun layak terima suntikan dos penggalak, saya yakin mereka akan dapat belajar dengan lebih tenang dan berasa lebih selamat selepas ini," katanya ketika ditemui selepas program berkenaan di Kolej KEDA, Khamis lalu.

Selain itu, Che Ridzuan memberitahu Kolej KEDA juga sedang mempertingkatkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) menjelang kemasukan 100 pelajar baharu bagi sesi Januari 2022.

Sementara itu, pengalaman dijangkiti Covid-19 pada September tahun lalu menjadikan pelajar jurusan Teknologi Fabrik Wanita Tahap Tiga, Mohamad Narsullah Mohd Radzi, 23, teruja untuk mengambil dos penggalak.

"Hanya orang yang pernah dijangkiti Covid-19 sahaja akan tahu bagaimana rasanya apabila virus ini berada di dalam badan, mujurlah ketika itu saya sudah mengambil vaksin dos pertama, saya hanya mengalami gejala ringan dan kurang selera makan.

CHE Ridzuan (tengah) meninjau pelajar yang sedang menunggu giliran untuk mengambil suntikan dos penggalak.
CHE Ridzuan (tengah) meninjau pelajar yang sedang menunggu giliran untuk mengambil suntikan dos penggalak.

"Jadi, program yang dianjurkan Kolej KEDA kali ini sangat baik, orang ramai sepatutnya tidak perlu bimbang mengambil dos penggalak kerana ini adalah ikhtiar kita untuk merasa lebih selamat bagi mengelak badan kita menjadi lebih mudarat sekiranya dijangkiti," katanya yang berasal dari Langkawi.

Bagi Nur Syafawati Mohd Nizar, 19, pula, dia pada mulanya berasa sedikit gementar untuk disuntik namun perasaan gemuruh itu hilang apabila bersama rakan yang lain.

"Terima kasih kepada Kolej KEDA kerana mengutamakan pelajar di sini, selepas ini kami rasa lebih selesa untuk belajar kerana kami sudah dilindungi dengan dos penggalak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 January 2022 @ 6:15 AM