NORHAYATI (dua kanan) melafaz kalimah syahadah di KIAM 2023 yang disaksikan dua anak perempuannya. FOTO Ihsan Pembaca.
NORHAYATI (dua kanan) melafaz kalimah syahadah di KIAM 2023 yang disaksikan dua anak perempuannya. FOTO Ihsan Pembaca.
Amir Mamat


Melaka: "Sukar digambarkan perasaan ketika ini, apa yang boleh dikatakan fikiran dan hati saya sangat tenang," kata wanita Orang Asli yang memeluk Islam hari ini.

Norhayati Ayeh, 47, dari Lubok Bandung, Jasin melafaz kalimah syahadah di hadapan Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Dakwah Jabatan Agama Islam Melaka, Noorhafizah Ibrahim pada Karnival Islamik Antarabangsa Melaka (Kiam) 2023 yang berlangsung di Stadium Hang Jebat, Krubong, di sini.

Ia turut disaksikan Pegawai Tugas-Tugas Khas Majlis Agama Islam Melaka, Datuk Md Rawi Mahmud serta pendakwah, Muhammad Zaaf Fadlan Rabbani Al-Garamatan atau dikenali Ustaz Fadlan Sabun.

Norhayati berkata, dia ada menyimpan hasrat untuk memeluk Islam terutama selepas dua anak perempuan mengucap syahadah pada 2020, namun ketika itu tidak bersedia.

Dia tidak menyangka kehadirannya ke karnival itu membuka hatinya untuk melafaz kalimah suci, sekali gus berasakan sudah menemui kehidupan baharu.

"Saya ke sini pada saat akhir apabila van yang membawa masyarakat Orang Asli ada kekosongan, jadi anak ajak pergi bersama.

"Mungkin tiba masanya hari ini (memeluk Islam). Apabila tiba-tiba disapa penceramah, ada suatu perasaan amat syahdu sehinggakan saya bersetuju dan ikhlas untuk melafazkan kalimah syahadah," katanya.

Ibu enam anak itu berharap kehidupannya sekeluarga lebih baik selepas ini dan akan cuba mendalami Islam sebenar, selepas sebelum ini hidup terumbang-ambing tanpa pegangan agama.

"Terima kasih kepada dua anak perempuan saya yang memahami ibu mereka. Akhirnya doa mereka dimaklumkan," katanya.

Sementara itu, anak Norhayati, Nur Evanatasya Rosalan, 21, berkata, penghijrahan ibunya adalah hadiah terindah buatnya kerana sudah lama menanti serta mengharapkan mereka dapat solat berjemaah bersama-sama.

"Sebelum ini beberapa kali saya pernah bercakap dari hati ke hati dengan ibu tetapi mungkin dia belum bersedia, namun hari ini saya sangat gembira dan bertuah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Disember 2023 @ 5:42 PM