HANTARAN Dr Azman yang tular dan dikritik kerana didakwa menggalakkan kanak-kanak bermain air banjir.
HANTARAN Dr Azman yang tular dan dikritik kerana didakwa menggalakkan kanak-kanak bermain air banjir.
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jabi, Dr Azman Ibrahim enggan melayan dakwaan segelintir pihak yang menyifatkannya tidak sensitif apabila memuat naik gambar bersama kanak-kanak bermain air banjir di kawasannya.

Bahkan, Dr Azman yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu menyifatkan isu itu sengaja diperbesarkan pihak tertentu bagi menimbulkan persepsi negatif terhadapnya.

Katanya, pihak yang berkenaan sepatutnya melihat perkara itu daripada skop yang lebih besar sebelum memberi sebarang pandangan, selain memahami situasi banjir yang sedang berlaku di kawasan Jabi.

"Mengenai isu gambar saya bersama budak-budak bermain air itu, saya melihat ia sengaja diperbesarkan apabila ada yang mendakwa saya tidak sensitif, cakna dan menggalakkan budak-budak bermain air banjir.

"Apa yang saya nak tekankan ialah, jangan hanya tengok sekeping gambar YB (Yang Berhormat) duduk bersama budak-budak, kita kena faham dalam satu konteks yang menyeluruh.

"Jangan ingat YB ini bila musim banjir galakkan budak-budak main banjir, itu semua anggapan terlalu dangkal tanpa melihat apa yang kita sudah buat untuk bantu rakyat dalam menghadapi musim banjir.

"Alhamdulillah, di kawasan Jabi keadaan banjir masih terkawal dan pada hari kejadian sebenarnya saya melawat kawasan yang dinaiki air untuk menyantuni keperluan penduduk di kawasan berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Azman berkata, persiapan banjir di Terengganu dibahagikan kepada tiga fasa iaitu sebelum, semasa dan selepas bencana.

Katanya, persiapan sebelum bencana dilakukan sepanjang tahun seperti pembinaan sistem perparitan dan saliran yang dilakukan secara berkala.

"Malah, jawatankuasa banjir kita juga sudah diaktifkan seawal Oktober dan sebenarnya di setiap kawasan, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) juga mempunyai sekurang-kurangnya satu pusat pemindahan sementara (PPS) yang dilengkapi pelbagai kemudahan.

"Bekalan untuk mangsa banjir sudah siap dihantar ke pangkalan hadapan dan peralatan serta logistik bagi kerja-kerja menyelamat semua sudah bersedia, selain kita juga berada dalam 'mood standby' serta bersedia untuk menghadapi apa saja kemungkinan.

"Mereka ini membuat kesimpulan dengan sekeping gambar semata-mata seolah-olah kita anggap banjir sebagai mainan tanpa membantu dan menyantuni penduduk yang terkesan akibat banjir di Terengganu.

"Seperti yang saya sebut, kita ada tiga fasa dan bantuan diberikan kepada penduduk terkesan turut membabitkan kerja-kerja seperti operasi membersihkan rumah-rumah penduduk sebaik banjir surut selain bantuan-bantuan keperluan harian yang lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Disember 2023 @ 7:10 PM