ZAKARIA yang didapati bersalah melakukan amang seksual mendengar keputusan hakim terhadap kesalahan itu di wad Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang. FOTO Faiz Anuar.
ZAKARIA yang didapati bersalah melakukan amang seksual mendengar keputusan hakim terhadap kesalahan itu di wad Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang. FOTO Faiz Anuar.
Norzamira Che Noh


Klang: Warga emas dijatuhi hukuman penjara 10 tahun oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini selepas didapati bersalah melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak perempuan, dua tahun lalu.

Hakim Syafeera Mohd Said memutuskan hukuman itu terhadap Zakaria Kamaludin, 67, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes di akhir pembelaan.

Dalam prosiding yang dijalankan di wad Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini, tertuduh diperintah untuk menjalani hukuman berkenaan di Penjara Kajang bermula hari ini.

Selain itu, hakim juga mengarahkan tertuduh menjalani perintah kaunseling sepanjang dipenjarakan dan perintah pengawasan dua tahun selepas tamat tempoh pemenjaraan itu.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan permohonan tertuduh yang diwakili peguam M Thanakumaran untuk menangguhkan hukuman sehingga proses rayuan, selain mengambil kira dia masih dirawat di hospital.

Hakim memutuskan penangguhan itu tertakluk kepada syarat yang tertuduh akan segera dihantar ke penjara jika gagal memfailkan rayuan dalam tempoh 14 hari.

Terdahulu, tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 sepatutnya hadir ke mahkamah untuk mendengar keputusan kesnya, namun terpaksa dibawa ke HTAR selepas mengalami sesak nafas di rumah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur' Ayuni Jamri.

Mengikut pertuduhan, Zakaria didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan yang ketika itu berusia lapan tahun di sebuah rumah di Jalan Kenangan, Meru pada 5.30 petang, 21 April 2021.

Sepanjang perbicaraan bermula Februari lalu, sebanyak enam saksi pendakwaan dikemukakan, manakala pihak pembelaan pula membawa tiga saksi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Disember 2023 @ 4:29 PM