GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Abdul Rahemang Taiming


Tawau: Penjawat awam dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan, tahun lalu.

Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud menjatuhkan hukuman itu ke atas Marino Majabin, 48, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan bagi setiap pertuduhan, namun hukuman berjalan serentak manakala hukuman sebat secara berasingan.

Awang ketika membacakan penghakimannya berkata, mahkamah mengambil kira fakta kes, kesan trauma ke atas mangsa dan faktor kepentingan awam dalam membuat keputusan.

"Dalam kes ini tertuduh didapati telah mengambil kesempatan melakukan perbuatan keji dan terkutuk ke atas mangsa yang datang untuk mendapatkan rawatan," katanya.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang juga seorang kakitangan di Jabatan Penjara Malaysia didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa berusia 15 tahun (ketika kejadian) di dalam tandas Perumahan Kuarters Penjara, Jalan Air Panas, Taman Ehsan, dekat sini, pada 3.30 pagi 12 Januari 2021.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama terhadap mangsa pada masa, tarikh dan di lokasi yang sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.

Berdasarkan fakta kes, mangsa bersama bapanya datang rumah tertuduh untuk berubat secara kampung kerana didakwa mempunyai masalah gangguan makhluk halus.

Tertuduh yang juga rakan sekerja kepada bapa gadis itu pada mulanya merawat mangsa di ruang tamu, namun tidak berjaya sebelum memaklumkan akan melakukan rawatan susulan (mandi).

Semasa memandikan mangsa, tertuduh melakukan perbuatan amang seksual fizikal dan mangsa meminta tertuduh menghentikan perbuatan itu, namun mendakwa ia adalah sebahagian daripada rawatan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Suhaimi Suriana memohon hukuman berat dikenakan ke atas tertuduh dengan mengambil kira faktor kepentingan awam dan tahap keseriusan kes, kesan trauma ke atas mangsa selain sebagai pengajaran kepada tertuduh serta masyarakat di luar sana.

Bagaimanapun, peguam tertuduh Ag Amli Noraufe Ag Nohin memohon penangguhan pelaksanaan hukuman sementara pihaknya memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mei 2022 @ 4:36 PM