GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Siraj Mohd Zaini


ISTERI yang sedang uzur dan berkerusi roda hanya mampu menangis teresak-esak dan melaungkan AllahuAkbar sebaik saja suaminya dijatuhkan hukuman penjara 18 tahun oleh Mahkamah Sesyen Klang selepas didapati bersalah melakukan amang seksual fizikal terhadap cucu tirinya pada tahun lalu.

Hakim Datin M Kundasamy membuat keputusan itu terhadap dua pertuduhan yang dihadapi tertuduh lelaki berusia 71 tahun pada akhir kes pembelaan hari ini.

Menurutnya, hukuman penjara bagi warga emas itu diputuskan untuk dijalankan berkuat kuasa hari ini.

“Selain itu, mahkamah turut memutuskan tertuduh menjalani kaunseling selama 18 tahun mengikut Seksyen 26 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

“Tertuduh juga perlu menjalani pengawasan polis selama setahun di bawah Seksyen 27 Akta sama,” katanya.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, lelaki warga emas itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun.

Perbuatan itu dilakukan pada bulan Februari dan Jun 2018 antara 2 petang hingga 4 petang di rumah di Pelabuhan Klang.

Dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan.

Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hasiful Khair Mohd Jamaluddin manakala tertuduh diwakili peguam Mohamed Imran Mohamed Sam.

Terdahulu, Mohamed Imran memohon agar tertuduh diberikan penangguhan hukuman sementara pihaknya memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi.

Bagaimanapun, mahkamah menolak permohonan itu kerana tiada keperluan khas bagi membolehkan tertuduh menangguhkan hukuman berkenaan.

Seramai tujuh saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan dikemukakan sepanjang prosiding perbicaraan dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 November 2019 @ 12:56 PM