TERTUDUH (tengah) dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan empat sebatan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
TERTUDUH (tengah) dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan empat sebatan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Pengawal keselamatan dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan empat sebatan di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini kerana melakukan amang seksual terhadap cucu tirinya.

Hakim Nooriah Osman membuat keputusan itu selepas tertuduh berusia 59 tahun mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual terhadap mangsa berusia lapan tahun di pondok rehat sebuah taman permainan di Dungun, 4 petang pada pertengahan Oktober lalu.

Selain itu, tertuduh turut didakwa melakukan amang seksual terhadap mangsa di sebuah rumah di Dungun, 4 petang pada 4 November lalu.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan dua sebatan bagi pertuduhan mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan, manakala hukuman penjara tiga tahun dan dua sebatan bagi pertuduhan kedua.

Hukuman akan berjalan secara berasingan bermula tarikh tertuduh ditahan pada 7 November lalu.

Selain itu, tertuduh turut diarahkan berada dalam pengawasan polis selama dua tahun mengikut Seksyen 27 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 sebaik selesai menjalani hukuman penjara.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zulfazliah Mahmud, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Disember 2020 @ 2:09 PM