LOKASI kejadian seorang penuntut lelaki berusia 18 tahun yang maut terjatuh dari tingkat 34 sebuah kondominium di Jalan Raja Abdullah, Kampung Baru, malam tadi. FOTO Ihsan Polis
LOKASI kejadian seorang penuntut lelaki berusia 18 tahun yang maut terjatuh dari tingkat 34 sebuah kondominium di Jalan Raja Abdullah, Kampung Baru, malam tadi. FOTO Ihsan Polis
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Penuntut universiti maut dipercayai terjatuh dari tingkat 34 sebuah kondominium di Jalan Raja Abdullah, Kampung Baru di sini, malam tadi.

Difahamkan, lelaki berusia 18 tahun itu mahu mengambil pakaiannya di balkoni sebelum terjatuh.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, polis menerima laporan kejadian pada 8.17 malam.

Menurutnya, mayat remaja itu ditemukan di tingkat bawah bangunan setinggi 39 tingkat berkenaan.

"Hasil soal siasat dua saksi kejadian mendakwa remaja terbabit ingin mengambil sehelai baju-T yang terjatuh di kaki lima balkoni.

"Dia dikatakan bertindak memanjat sebuah meja dan kemudian memanjat pagar balkoni. Mangsa hilang keseimbangan dan terjatuh ke bawah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, mayatnya dibawa ke Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Disember 2023 @ 8:29 AM