DR Mohd Zin (kiri) dan Mas Imran (dua dari kiri) menyantuni Batool dan tiga anaknya di sebuah khemah pelarian di bandar Azaz, Syria. FOTO Othman Mamat
DR Mohd Zin (kiri) dan Mas Imran (dua dari kiri) menyantuni Batool dan tiga anaknya di sebuah khemah pelarian di bandar Azaz, Syria. FOTO Othman Mamat
Othman Mamat

Azaz (Syria): Selepas hampir dua jam tersadai di pintu masuk sempadan Turki-Syria di Kilis, Turki, dekat sini, anggota rombongan Misi Kemanusiaan MyCare/Econsave di Syria 2022 akhirnya menarik nafas lega apabila berjaya memasuki bumi Syria selepas mendapat keizinan daripada pihak berkuasa Turki yang kini mengawal beberapa kawasan di timur laut Syria.

Bukanlah mudah untuk memasuki Syria yang masih dicengkam konflik dan perang saudara. Walaupun pelbagai urusan dokumentasi sudah dibuat sejak beberapa minggu sebelum berlepas ke Gaziantep, bandar di sempadan Turki-Syria, namun anggota misi masih berdepan pelbagai proses dan pemeriksaan untuk menyeberangi sempadan berikutan kawalan ketat yang dilakukan pihak berkuasa Turki di semua pintu masuk negara itu.

Malah, anggota rombongan terpaksa berjalan kaki sejauh beberapa ratus meter di bawah terik matahari dari pos kawalan sempadan di Kilis, Turki dan beberapa pondok kawalan tentera serta polis dan kastam menuju ke pintu masuk Syria berhampiran bandar ini.

"Alhamdulillah, akhirnya kami berjaya memasuki Syria dalam misi menghulurkan bantuan kepada mangsa konflik yang kini menjadi pelarian dan terpaksa menghuni ribuan kem pelarian di merata pelusuk bandar berhampiran sempadan Syria-Turki ini. Semoga misi mulia ini dipermudahkan dan mendapat keredhaan Allah SWT," kata Ahli Lembaga Pemegang Amanah Humanitarian Care Malaysia (MyCare), Dr Mohd Zin Kandar.

Beliau yang mengetuai misi 11 hari ke Syria itu berkata, pihaknya bersyukur kerana mendapat bantuan daripada Yayasan Ataa bagi menguruskan segala proses dokumentasi bagi mendapatkan kebenaran untuk memasuki bandar ini dan beberapa bandar lain berhampiran sempadan Syria-Turki yang kini dikawal bersama oleh pihak berkuasa Turki dan Syria.

Sejurus tiba di bandar ini, anggota rombongan terus mengunjungi sebuah kem pelarian yang menempatkan beratus-ratus keluarga mangsa peperangan dan konflik bersenjata di wilayah berhampiran termasuk Allepo dan Idlib, untuk mengagihkan kotak makanan dan barangan keperluan harian.

Anggota rombongan kemudian bergerak ke satu kawasan penempatan di pinggir bandar ini bagi menyaksikan majlis pecah tanah pembinaan sebuah sekolah berharga kira-kira RM1 juta yang disumbangkan oleh rakyat Malaysia menerusi MyCare dan tabung bantuan yang diletakkan di pintu masuk semua pasar raya Econsave Cash and Carry di seluruh negara.

Turut serta dalam rombongan ini ialah Pengurus Besar Econsave, Mas Imran Adam, aktiviti MyCare dan wartawan daripada stesen televisyen dan akhbar Malaysia.

Anggota rombongan terpaksa berpatah balik ke Gaziantep di Turki kerana tidak mendapat keizinan untuk bermalam di bandar Azaz dan memasuki semula bandar ini untuk meneruskan aktiviti misi kemanusiaan pada hari berikutnya.

Selain pembinaan sekolah yang bakal memanfaatkan 1,200 anak pelarian, bantuan yang diberikan kepada keluarga pelarian termasuk pek makanan untuk 1,000 keluarga, makanan panas (1,000 keluarga), pakaian kanak-kanak (500 penerima), wang tunai kepada 200 keluarga, 10 kerusi roda, peralatan sekolah untuk 1,000 pelajar, program akikah dan pengagihan daging dan projek telaga tiub untuk bekalan air bersih bernilai RM70,000.

"Sumbangan yang disalurkan MyCare sejak konflik di Syria dalam pelbagai bentuk bantuan dan kempen lain setakat ini berjumlah RM13.5 juta termasuk tajaan anak yatim, tajaan pendidikan, pakaian musim sejuk dan pembinaan khemah pelarian,"katanya.

Yayasan Ataa adalah rakan strategik MyCare di Syria yang turut membina penempatan berbentuk rumah konkrit kepada ratusan ribu pelarian dan pelarian dalam negara sendiri (IDP) di Timur Laut Syria. Rumah dua bilik yang dibina di tapak seluas lapan hektar di Perkampungan Ataa di pinggir bandar ini akan diberikan secara percuma kepada keluarga pelarian dengan kontrak yang perlu diperbaharui setiap dua tahun. Sekiranya keluarga pelarian yang tinggal di rumah itu sudah berjaya meraih pendapatan sendiri daripada pekerjaan atau perniagaan, mereka perlu mengosongkan rumah berkenaan untuk dimanfaatkan oleh keluarga lain pula.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Julai 2022 @ 5:02 PM