Ubaid Muhammad
Ubaid Muhammad
Othman Mamat


Marib (Yaman): Bunga dibalas peluru! Itulah yang berlaku kepada pengurus sekolah apabila ditembak ketika menyertai demonstrasi menentang pemerintah yang korup dan zalim di Yaman, lebih sedekad lalu.

Ubaid Muhammad, 45, berkata dia membawa sekuntum bunga sebagai simbol perdamaian ketika menyertai demonstrasi jalanan bagi menyuarakan protes terhadap kerajaan.

"Saya datang menyertai demonstrasi dengan semangat dan harapan mahukan masa depan Yaman yang lebih baik," katanya mengimbas insiden yang menimpa dirinya ketika awal revolusi di bandar ini pada 2011.

Insiden itu sudah sudah hampir 13 tahun berlalu ketika Ubaid berusia 32 tahun bersama anak muda yang berfikiran sama turun ke jalanan bagi menuntut perubahan daripada pemerintah sebelum ini.

Namun, dia yang bertugas sebagai pengurus sebuah sekolah di sini, tidak menyangka kehadirannya menyertai demonstrasi menentang kerajaan berakhir tragedi apabila dia ditembak oleh seseorang yang tidak dikenali.

"Saya datang ke demonstrasi tanpa sebarang senjata. Saya cuma membawa sekuntum bunga dan cuba menyuarakan protes terhadap kerajaan sedia ada pada masa itu.

"Malangnya tiba-tiba saya ditembak pada bahagian pangkal paha oleh seseorang sedangkan saya tidak melakukan sebarang provokasi," katanya ketika menerima kunjungan wakil Humanitarian Care Malaysia Berhad (MyCare) dan Pasar Raya Econsave Cash & Carry Sdn Bhd di Kem Pelarian Al-Jufainah, di sini, pada Rabu. Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCare Dr Mohd Zin Kandar menyerahkan sumbangan kepada Ubaid sambil disaksikan Pengurus Besar Pasar Raya Econsave, Mas Imran Adam dan Pengurus MyCare Johor, Rozi Abdul Ghani.

Selain sumbangan wang tunai, Ubaid juga salah seorang daripada 20 penerima air bersih di kem pelarian berkenaan yang diserahkan MyCare dan Econsave hasil sumbangan rakyat Malaysia.

MyCare dan Econsave kini mengadakan Misi Kemanusiaan Musim Sejuk di Syria, Mesir dan Yaman bermula 18 sehingga 31 Disember ini.

Bercerita lanjut, Ubaid berkata, sejak kejadian itu dia sudah tidak boleh berjalan dan sehingga kini masih menanggung kesakitan walaupun sudah 10 pembedahan dibuat temasuk tiga kali di Mesir dan India.

Bapa kepada seorang anak yang berstatus orang kurang upaya (OKU) itu dicadangkan oleh pegawai perubatan supaya mendapatkan rawatan lanjut di Britain atau Amerika Syarikat.

Mengenai bantuan air bersih yang diterima, katanya, sebelum ini keluarganya akan membeli air selain meminjam daripada jiran dan setiap minggu perlu menyimpan wang untuk membeli air bersih dengan keutamaan untuk air minuman.

Sementara itu, Abdullah Said Dubai, 65, penghuni kem pelarian paling daif terbabit berkata, dia terpaksa menadah air hujan selain membeli 1,500 liter air pada setiap dua hingga tiga minggu.

Dia yang tinggal dalam khemah yang tiada bilik atau dapur bersama isteri dan tiga anaknya itu berkata, masalah air bersih amat meruncing dan menjadi perkara utama di kem pelarian terbabit.

"Sejak berlindung di kem pelarian ini, masalah sumber air bersih tidak pernah selesai," katanya yang menghuni kem pelarian berkenaan sejak 2018 selepas rumahnya di Sanaa, ibu negara Yaman, musnah akibat dibom.

Dalam pada itu, Mas Imran berkata, sebanyak 60 lori dengan kapasiti 400,000 liter air disumbangkan kepada 180 keluarga dibeberapa kem pelarian di sekitar daerah ini.

"Bantuan ini adalah sebahagian daripada misi kita bagi meringankan beban mangsa perang di kem-kem pelarian yang berdepan masalah bekalan air bersih," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Disember 2023 @ 10:47 AM