Hafidzul Hilmi Mohd Noor


SUAMI isteri yang cedera selepas melanggar pokok tumbang di Jalan Ampang pagi tadi baru melangsungkan majlis pernikahan, semalam.

Mangsa, Mira Ezva Abd Rasid, 25 berkata dia dan suami, Norazrul Ahmad, 37, baru selesai melangsungkan majlis pernikahan di sebuah masjid di Cheras malam tadi sebelum kejadian yang menimpa dia dan suami.

"Kejadian berlaku begitu pantas, pokok di hadapan kami tiba-tiba tumbang menyebabkan suami tidak sempat untuk membrek dan terus melanggar pokok berkenaan.

"Saya bersyukur saya terselamat dalam kejadian, namun kini risau dengan keadaan suami yang masih belum sedarkan diri," katanya ketika ditemui di Hospital Kuala Lumpur hari ini.

Mira berkata, dia yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di pusat beli-belah di Ampang mendakwa kali pertama lalu di jalan berkenaan.

PENUNGGANG motosikal parah akibat dihempap pokok yang tumbang berdekatan Bangunan Getah Asli di Jalan Ampang pagi tadi. FOTO Ihsan Pembaca
PENUNGGANG motosikal parah akibat dihempap pokok yang tumbang berdekatan Bangunan Getah Asli di Jalan Ampang pagi tadi. FOTO Ihsan Pembaca

"Ini adalah kali pertama kami melalui jalan ini memandangkan saya baru sahaja ditukarkan untuk bertugas di pusat beli-belah berkenaan.

"Ini dugaan besar buat saya dan suami yang baru bernikah tidak sampai sehari. Saya berharap suami saya pulih seperti sedia kala," katanya.

Katanya, dia kini menunggu keadaan suaminya stabil sebelum mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak berwajib.

"Saya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan. Ini membabitkan nyawa orang ramai di kawasan berkenaan.

"Saya dan suami bernasib baik tidak dihempap pokok berkenaan , jika tidak saya tak tahu apa nasib yang menimpa nasib saya dan suami," katanya.

Berita berkaitan:

Pokok hempap penunggang motosikal [METROTV]

[UPDATE] 2 cedera pokok tumbang di Jalan Ampang

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Mac 2018 @ 2:14 PM