Pengunjung meluangkan masa bersama keluarga pada cuti sambutan Hari Krismas di pusat beli belah Pavillion. FOTO ASYRAF HAMZAH
Pengunjung meluangkan masa bersama keluarga pada cuti sambutan Hari Krismas di pusat beli belah Pavillion. FOTO ASYRAF HAMZAH
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Kemeriahan sambutan Krismas diraikan warga kota yang menyambutnya dengan membawa keluarga masing-masing berkunjung ke pusat beli-belah terkemuka, di sini, hari ini.

Lai Ming, 45, berkata, dia bersama suami datang ke pusat beli-belah selepas upacara sembahyang di gereja.

"Setiap tahun selepas sembahyang di gereja, kami memang akan berjalan-jalan dan makan di pusat beli-belah. Itu adalah rutin bersama suami.

"Pada sebelah malam barulah berkumpul dengan keluarga masing-masing untuk makan bersama. Walaupun sambutan ringkas saja, tapi tetap diraikan dalam suasana meriah," katanya kepada Harian Metro.

Seorang lagi pengunjung yang ditemui berkata, dia bersama suami dan tiga anak memilih untuk meraikan Krismas di pusat beli-belah selain membeli-belah.

"Kami ke gereja jam 9 pagi. Selepas itu baru datang pusat beli-belah. Sampai di sini tengok memang meriah. Lagi pula hari cuti umum, jadi semua orang tak lepaskan peluang.

"Sama macam tahun sebelumnya, sambutan tetap meriah dengan keluarga. Kebiasaannya pada sebelah malam baru ada aktiviti makan-makan dengan ahli keluarga lain," katanya.

Bagi pengunjung Gan Boon Keat, 40, cuti Krismas dimanfaatkan sebaiknya bersama isteri dan anak-anak.

"Kamil tak sambut Krismas, tapi disebabkan cuti umum jadi ambil peluang bawa keluarga berjalan-jalan di pusat beli-belah. Dapat juga kita memeriahkan sambutan ini dengan orang lain.

"Kawan yang sambut Krismas semuanya ke gereja awal pagi. Jadi, tak dapat nak meraikan bersama mereka," katanya.

Tinjauan Harian Metro juga mendapati pengunjung tidak melepaskan peluang untuk merakamkan gambar kenangan di perhiasan Krismas yang tersedia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Disember 2023 @ 3:52 PM