ALIRAN trafik menuju ke Plaza Tol Gombak mulai sesak. FOTO Bernama
ALIRAN trafik menuju ke Plaza Tol Gombak mulai sesak. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Aliran trafik di lebuh raya utama setakat 5 petang ini agak perlahan berikutan orang ramai mengambil peluang cuti panjang sempena Krismas untuk berjalan bersama keluarga dan pulang ke kampung, namun tiada kesesakan luar biasa dilaporkan di jalan-jalan utama menghala keluar dari ibu negara.

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) ketika dihubungi Bernama berkata, trafik perlahan berlaku di beberapa lokasi antaranya arah utara dari Ayer Keroh ke Simpang Ampat.

"Selain itu, aliran trafik juga perlahan arah selatan dari Kuala Kangsar ke Sungai Perak dan dari Senawang ke Port Dickson (U) menghala utara," katanya.

Kemas kini PLUS menerusi laman X rasminya pula memaklumkan trafik perlahan dilaporkan berlaku di Lebuhraya Utara-Selatan Lingkaran Tengah (ELITE) arah selatan dari Putrajaya ke Bandar Gamuda Cove.

Sementara itu, trafik di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) juga dilaporkan sesak dan perlahan menghala Kuala Lumpur dari Kilometter (KM) 20.8 hingga ke Plaza Tol Gombak.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Disember 2023 @ 6:11 PM