Pasar terapung Khlong Hae di Hatyai, Songkhla.
Pasar terapung Khlong Hae di Hatyai, Songkhla.
Noor Hidayah Tanzizi

Kuala Lumpur: Tawaran harga yang lebih kompetetif antara faktor yang menjadikan Hatyai, Thailand sebagai destinasi pilihan rakyat negara ini berbanding Langkawi, Kedah.

Ia turut merangkumi harga penginapan dan makanan yang dikatakan lebih murah di selatan negara jiran berkenaan termasuk mempunyai pelbagai variasi makanan 'viral' selain tidak perlu mengikut jadual pengangkutan laut.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pelancongan Negara (YPN) Dr Fathir Badri Alhadad berkata, pemain industri di Langkawi perlu lebih cakna dengan situasi ekonomi semasa serta perlu meningkatkan kualiti produk pelancongan masing-masing.

Menurutnya, beliau tidak menafikan rata-rata pelancong domestik kini lebih memilih untuk ke Hatyai atau Medan, Indonesia disebabkan harga ditawarkan lebih kompetatif.

"Pakej pelancongan di Langkawi ketika ini antara RM449 hingga RM599 untuk dua hingga empat orang selama tiga hari dua malam dan ia lebih mahal berbanding lima tahun lalu yang hanya RM350 hingga RM270 untuk dua hingga tujuh orang.

"Untuk pakej ke Hatyai-Songkla melalui carian di Internet mendapati mereka hanya menawarkan RM299 untuk seorang termasuk pangangkutan bas, pemandu pelancong dan hotel. Jadi ini menyebabkan orang kita lebih memilih ke sana," katanya.

Menurutnya, selain itu kebanyakan produk pelancongan yang ada di Langkawi khususnya sudah dilawati dan tidak dinafikan ia juga sebenarnya kekurangan produk baru sekali gus menyebabkan pelancong memilih destinasi lain untuk bercuti.

Menurutnya, beliau berpandangan kerajaan juga perlu ada mekanisme terbaik untuk menyelesaikan isu berbangkit membabitkan feri termasuk di jeti terutama apabila air surut bagi melancarkan perkhidmatan itu.

"Kerajaan perlu bersama membantu untuk menangkis stigma terhadap pulau lagenda itu termasuk Langkawi sebagai destinasi tidak mesra pelancong antarabangsa dengan meningkatkan kempen dan promosi mengenainya.

"Antara produk baru yang boleh diperkenalkan di Langkawi seperti Langkawi Eye (seperti London Eye), Luxury Branded Village dan perkampungan Melayu yang mempunyai aktiviti seperti zaman Mahsuri.

"Masalah lumpur di jeti juga perlu diatasi segera supaya pengguna tidak tersangkut akibat paras air di jeti tidak dalam bagi membolehkan feri bergerak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 November 2023 @ 3:17 PM