Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: 'Mini Dhaka' yang terletak di Jalan Silang dan Lebuh Pudu di sini, kembali menjadi tumpuan warga asing yang menghabiskan cuti hujung minggu mereka di kawasan itu.

Aktiviti perniagaan yang sebelum ini sepi kerana tidak menerima pengunjung selepas kawasan itu digempur secara besar-besaran oleh Polis Diraja Malaysia Malaysia (PDRM), 21 Disember lalu kembali aktif.

Tinjauan wartawan pada 12.30 tengah hari mendapati warga asing mula menguasai perniagaan di kaki lima dengam menjual pakaian terpakai, sireh dan makanan tradisional mereka.

Kesempatan cuti hujung minggu itu juga, warga asing turut dilihat keluar membeli barang-barang keperluan seharian.

Malah ada diantara mereka dilihat tidak menjaga kebersihan dengan meludah di kawasan siar kaki.

Ketika jurugambar sedang merakamkan gambar aktiviti dan kegiatan mereka, kebanyakan warga asing mula menutup premis masing-masing.

Mereka dilihat melarikan diri dan menyimpan barangan jualan di bahagian tingkat atas premis perniagaan.

Peniaga warga tempatan, Anuar Shaari, 59, berkata, selepas digempur pihak berkuasa baru-baru ini, ini adalah kali pertama kawasan sekitar dipenuhi warga asing.

"Sebelum ini memang kurang selepas operasi dijalankan, tak ramai yang datang malah beberapa premis juga tidak beroperasi.

PERNIAGAAN oleh warg asing di tepi jalan ketika tinjauan di Jalan Silang susulan operasi PDRM. FOTO Asyraf Hamzah
PERNIAGAAN oleh warg asing di tepi jalan ketika tinjauan di Jalan Silang susulan operasi PDRM. FOTO Asyraf Hamzah

"Namun hari ini, aktiviti beejalan seperti biasa malah lagi ramai dari sebelum ini, kebanyakan mereka datang ke sini menggunakan bas dan e-hailing dan akan bertemu dengan rakan-rakan di restoran yang menjual juada tradisional mereka," katanya.

Menurutnya, dia dan isteri juga dimarahi segelintir warga asing kerana mengeluarkan kenyataan kepada media selepas operasi dijalankan.

"Ketika operasi dijalankan dulu, ada pihak media menemubual saya berkenaan warga asing. Mereka memarahi saya kerana memberitahu perkara (sikap) mereka.

"Saya hanya sebut segelintir, bukan semua, ada juga warga asing yang baik dan sering membantu serta menolong warga tempatan," katanya.

Pada 21 Disember lalu, operasi besar-besaran bermula 11 pagi di Jalan Silang dengan 60 premis di kawasan berkenaan serta di sekitar Kompleks Kota Raya diperiksa serta 1,101 warga asing ditahan untuk pemeriksaan.

Operasi berkenaan dilakukan selepas pihak berkuasa menerima aduan orang ramai tidak selesa apabila berkunjung ke destinasi tumpuan negara kerana kawasan itu 'dikuasai' warga asing sehingga ada yang semakin 'besar kepala.'

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Disember 2023 @ 3:03 PM