Saudara mara, jiran dan sahabat mula memenuhi perkarangan rumah Allahyarham Datuk M Daud Kilau di Kampung Sungai Balai Baroh pagi ini bagi memberikan penghormatan terakhir kepada penyanyi lagenda itu. FOTO MUHAMAD LOKMAN KHAIRI
Saudara mara, jiran dan sahabat mula memenuhi perkarangan rumah Allahyarham Datuk M Daud Kilau di Kampung Sungai Balai Baroh pagi ini bagi memberikan penghormatan terakhir kepada penyanyi lagenda itu. FOTO MUHAMAD LOKMAN KHAIRI
Muhamad Lokman Khairi


Bagan Datuk: Perkarangan rumah Allahyarham Datuk M Daud Kilau di Kampung Sungai Balai Baroh di sini, pagi ini, mula dikunjungi saudara-mara, jiran dan sahabat penyanyi itu.

Jalan raya di hadapan kediaman arwah kelihatan dikawal oleh anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) bagi membantu menjaga lalu lintas.

Setakat 8.50 pagi ini, jenazah Allahyarham masih berada di kediamannya di sini, bagi memberi ruang kepada saudara-mara terdekat menziarahi dan memberikan penghormatan terakhir kepada arwah.

Bacaan Surah Yasin kedengaran tidak putus-putus dibaca beramai-ramai oleh mereka yang datang menziarahi jenazah dan keluarganya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan M Daud Kilau, 85, menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 4.46 petang semalam, semasa menerima rawatan di Hospital Teluk Intan (HTI).

Penyanyi lagu malar segar Cek Mel Molek itu meninggalkan seorang balu, Datin Rohani Awang Ngah; dua anaknya, Noraini Muhammad Daud, 58, dan Ahmad Zaini Muhammad Daud, 52; sembilan cucu dan dua cicit.

Ahmad Zaini ketika ditemui berkata, jenazah ayahnya akan dibawa ke Masjid Tuminah Hamidi di sini, jam 9 pagi ini untuk disolatkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Balai Baroh.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Disember 2023 @ 9:10 AM