Muhamad Lokman Khairi


Bagan Datuk: Norhasliyana Hassan, 33, tidak menyangka perbualannya dengan Allahyarham Datuk M Daud Kilau kelmarin yang memintanya menguruskan jenazahnya dengan baik adalah yang terakhir.

Cucunya berkata, M Daud Kilau sempat berpesan supaya jenazahnya dimandi dan dikafankan dengan baik andai tiba masanya.

"Atuk beritahu beliau akan pergi. Atuk sempat berpesan jenazahnya dimandikan baik-baik. Saya hanya mendengarnya tetapi tidak terlalu memberi perhatian sebab beranggapan dia sedang mamai.

"Atuk minta minta maaf beritahu nak pergi dah," katanya kepada pemberita semasa ditemui di Masjid Tuminah Hamidi, di sini, hari ini.

Norhasliyana berkata kesihatan M Daud yang rapat dengan semua sembilan cucunya itu mula merosot sejak Mac lalu dan memburuk sejak awal bulan ini.

Norhasliyana mendedahkan pesanan terakhir datuknya, M Daud Kilau yang meminta supaya jasadnya dimandi dan dikafankan sebaiknya. FOTO MUHAMAD LOKMAN KHAIRI.
Norhasliyana mendedahkan pesanan terakhir datuknya, M Daud Kilau yang meminta supaya jasadnya dimandi dan dikafankan sebaiknya. FOTO MUHAMAD LOKMAN KHAIRI.

"Kadang-kadang apabila atuk menelefon, dia selalu tanya 'cucu atuk buat apa?'. Lepas tu dia nyanyi lagu Cek Mek Molek pada saya.

"Kenangan ini saya mesti rindu nak dengar dan lihat senyuman dia semula sebab sejak beliau dimasukkan ke hospital 12 Disember lalu, dia sudah tak senyum, hanya beri respon yang sangat minimum.

"Saya pulang ke Kuala Lumpur (KL) kelmarin sebab doktor beritahu keadaannya sudah stabil dan kami ingat akan teruskan dengan pembedahan kaki yang sepatutnya dijalankan semalam, tapi apabila saya sampai KL keadaannya dilaporkan semakin merosot," katanya sebak.

Norhasliyana berkata, ahli keluarga reda dengan pemergian Allahyarham kerana tidak mahu terus melihat insan disayangi mereka itu terus menderita.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Disember 2023 @ 2:19 PM