Nor Amalina Alias


Bachok: Suri rumah yang maut bersama dua anak dalam kemalangan di Lipis, Pahang, semalam sempat menyatakan hasrat untuk mencari kerja kepada saudara perempuannya.

Hasrat itu dinyatakan Nor Faizah Ridzuan, 34 kepada Nurul Akma Abdullah, 31 dalam mesej WhatsApp terakhir mereka jam 10.42 pagi semalam.

Nurul Akma yang juga dua pupu kepada Nor Faizah berkata, arwah seorang yang pendiam, namun mereka mula rapat sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Ini berikutan, arwah yang tinggal bersama keluarganya di Petaling Jaya, Selangor kerap pulang ke kampung di Bachok.

Katanya, arwah tinggal di Selangor kerana mengikut suaminya, Koperal Mohamad Azman Mat Yaacob, 36 bertugas di Balai Polis Petaling Jaya, Selangor.

"Arwah bertanyakan saya jika ada kerja kosong, dia beritahu nak cari kerja di Petaling Jaya.

"Sebelum ini kami rapat sebab saya kerja di akademi memandu dan arwah ambil lesen di tempat saya bekerja," katanya ketika ditemui di Kampung Pintu Gerbang, Tawang, di sini.

GAMBAR kenangan Koperal Mohamad Azman bersama isteri Nor Faizah dan dua anaknya Muhammad Hariz dan Muhammad Hafiy.
GAMBAR kenangan Koperal Mohamad Azman bersama isteri Nor Faizah dan dua anaknya Muhammad Hariz dan Muhammad Hafiy.

Sementara itu, jenazah Nor Faizah dan anak, Muhammad Hariz Adrian, 10 serta anak angkat, Muhammad Hafiy Azman, 3, selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Pintu Gerbang, di sini, petang ini.

Hampir 100 kenalan, keluarga, pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) hadir pada majlis pengebumian berkenaan.

Turut menziarahi keluarga mangsa, Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun.

Suri rumah itu maut bersama dua anaknya selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya membabitkan sebuah kereta Perodua Alza dan treler pengangkut kenderaan di Kilometer 17 Jalan Lipis - Benta dekat Taman Jelai, Penjom, awal pagi tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Disember 2023 @ 8:23 PM