PUTRAJAYA 14 DECEMBER 2023. Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad hadir di Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kesihatan di Putrajaya. Turut kelihatan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan (dua kiri) dan Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Seri Dr Zaini Ujang (tiga kanan). NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
PUTRAJAYA 14 DECEMBER 2023. Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad hadir di Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kesihatan di Putrajaya. Turut kelihatan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan (dua kiri) dan Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Seri Dr Zaini Ujang (tiga kanan). NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
Samadi Ahmad


Putrajaya: Peningkatan jangkitan kes Covid-19 di negara ini perlu diambil perhatian oleh semua pihak.

Menteri Kesihatan (KKM), Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pihak kementerian menyedari peningkatan kes jangkitan itu yang mutakhir ini sudah melebihi 12,000 kes.

"Saya juga sudah memaklumkan kepada Jemaah Kabinet dan situasi ini perlu diambil perhatian terutama ketika akhir tahun yang juga musim cuti.

"Namun, kita lihat (kemasukan pesakit ke) fasiliti kesihatan masih lagi rendah dan terkawal.

"(Jadi) Saya menasihatkan orang ramai terutama yang bergejala memakai pelitup muka terutama ketika berada di kawasan sesak," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan KKM di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha KKM, Datuk Seri Dr Zaini Ujang dan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan.

Semalam, jumlah kes Covid-19 yang dilaporkan meningkat daripada 6,796 kepada 12,757 pada Minggu Epidemiologi ke-49 (ME 49/2023), dan ia seiring trend global pada setiap hujung tahun dan majoriti kes mengalami gejala ringan serta tidak memerlukan rawatan hospital.

Ketua pengarah kesihatan Dr Radzi Abu Hassan dilapor berkata, walaupun terdapat peningkatan mendadak jumlah kes Covid-19 yang dilaporkan, keadaan di Malaysia masih terkawal dan kemudahan penjagaan kesihatan beroperasi dalam kapasitinya.

Dr Dzulkefly berkata, situasi itu sewajarnya meletakkan warga KKM untuk sentiasa berjaga-jaga pada setiap masa.

"KKM mungkin akan mengeluarkan arahan tertentu terutama bagi kumpulan yang komorbid usia dan mudah terdedah kepada risiko jangkitan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Disember 2023 @ 12:03 PM