Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Putrajaya: Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan tidak bercadang untuk mengulangi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti yang berlaku pada awal pandemik Covid-19.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya berharap kes Covid-19 ini dapat ditangani walaupun Malaysia kini sedang menghadapi peningkatan kes yang mendadak.

DR Dzulkefly Ahmad bersama Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan  pada sidang media khas berhubung perkembangan terbaru Covid 19 di Kementerian Kesihatan Putrajaya. FOTO Hazreen Mohamad
DR Dzulkefly Ahmad bersama Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan pada sidang media khas berhubung perkembangan terbaru Covid 19 di Kementerian Kesihatan Putrajaya. FOTO Hazreen Mohamad

"Malaysia kini sedang menghadapi peningkatan kes Covid-19 yang mendadak.

"KKM berharap agar situasi ini dapat ditangani tanpa perlu mengulangi sekatan seperti PKP yang berlaku pada awal pandemik Covid-19," katanya pada sidang media khas di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly berkata, sebanyak 20,696 kes baharu dicatatkan pada Minggu Epidemiologi 50 dari 10 hingga 16 Disember 2023.

Beliau berkata, ia adalah peningkatan sebanyak 62.2 peratus berbanding dengan jumlah kes yang dilaporkan pada Minggu Epidemiologi 49.

"Majoriti 97 peratus lagi adalah kategori satu dan dua. Manakala kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi ialah 151 kes yang mana 96 kes memerlukan alat bantuan pernafasan dan kes kematian adalah sebanyak 28 kes dengan kadar kematian 0.1 peratus," katanya.

Katanya, jumlah kematian tertinggi adalah dalam kalangan kes yang berusia 60 tahun ke atas adalah 85 peratus dan yang mempunyai komorbiditi adalah 93 peratus.

Beliau berkata, maklumat terperinci lain berkenaan situasi semasa jangkitan dan penularan Covid-19 di Malaysia akan dimuatnaik ke laman web KKMNOW di https://data.moh.gov.my.

"Data ini akan dikemaskini secara mingguan," katanya.

Selain itu katanya, bagi menghadapi lonjakan kes Covid-19, KKM telah memperkukuhkan Pelan Pengurusan Covid-19 melalui lima strategi utama.

Katanya, strategi itu adalah pengesanan awal kes Covid-19 dan varian SARS-CoV-2 selain pemerkasaan komuniti melalui amalan TRIIS (Test, Report, Isolate, Inform, dan Seek).

Strategi lain katanya, adalah pemantauan fasiliti kesihatan, pengurusan dan kawalan kes Covid-19 terutamanya untuk melindungi golongan berisiko tinggi.

"Kita juga melaksanakan pemerkasaan komuniti melalui komunikasi risiko yang berkesan dan pendigitalan sistem kesihatan dalam pengurusan pandemik melalui aplikasi MySejahtera," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Disember 2023 @ 5:33 PM