PENDUDUK Gaza menjahit baju sejuk dengan mesin jahit yang dihidupkan dengan tenaga elektrik daripada basikal. FOTO Agensi.
PENDUDUK Gaza menjahit baju sejuk dengan mesin jahit yang dihidupkan dengan tenaga elektrik daripada basikal. FOTO Agensi.
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Di tengah-tengah pelbagai sekatan dan serangan berterusan tentera Israel yang memasuki bulan ketiga, penduduk Gaza, Palestin tidak mengalah dalam meneruskan kehidupan.

Beberapa perkongsian tular menunjukkan, penduduk Gaza kreatif menggunakan apa sahaja untuk memastikan mereka bertahan terutama pada musim sejuk ini.

Dalam satu rakaman video, kanak-kanak dilihat mengayuh basikal menggunakan tangannya bagi menghidupkan mesin jahit elektrik yang dikendalikan lelaki dewasa bagi menjahit baju sejuk.

Perkongsian lain menunjukkan, penduduk menggunakan bateri kenderaan yang diubah suai bagi mengecas bateri telefon masing-masing, berikutan gangguan bekalan elektrik dan sekatan bahan api berterusan ke atas semenanjung Gaza.

Mengulas situasi itu, Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman berkata, semangat juang tinggi, kreativiti dan inovasi penduduk Gaza memang terbukti sejak dahulu lagi.

"Penduduk Gaza sangat terkenal dengan ketahanan tinggi mereka dan sikap tidak mudah mengalah dan sangat kreatif mencari solusi bagi menyelesaikan masalah.

BATERI kenderaan digunakan untuk mengecas telefon bimbit. FOTO Agensi.
BATERI kenderaan digunakan untuk mengecas telefon bimbit. FOTO Agensi.

"Sebelum ini kita membaca yang mereka menggunakan tong gas bagi menggerakkan kenderaan kerana harga bahan api yang mahal, kemudian mereka menggunakan minyak masak.

"Dalam berdepan penjajah pula dalam The Great Return March 2018, mereka menerbangkan layang-layang berapi ke tanah haram, kemudian belon dan apabila belon juga dihalang memasuki Gaza, mereka menerbangkan kondom berapi," katanya menerusi Instagram, hari ini.

Menyedari keperluan mendesak pada musim sejuk ini, Muhammad Nadir berkata, pasukan CGM di Gaza terus mengambil tanggungjawab menyalurkan amanah rakyat Malaysia walaupun Gaza masih dibedil Israel.

"Kali ini rezeki kita apabila ada tauke pakaian menghubungi kami dan memaklumkan yang dia ada stok baju sejuk banyak yang nak dijual dengan harga modal.

"Hasilnya, seramai 17,600 kanak-kanak menerima baju baharu dan baju sejuk untuk kegunaan harian mereka.

"Semoga lebih ramai kanak-kanak Gaza yang dapat kita semua bantu sepanjang serangan ini. Insya-Allah," katanya.

PASUKAN CGM memakaikan kanak-kanak dengan pakaian baharu. FOTO CGM.
PASUKAN CGM memakaikan kanak-kanak dengan pakaian baharu. FOTO CGM.

Katanya, rakyat Malaysia juga perlu mengambil semangat penduduk Gaza yang tidak pernah mengalah memperjuangkan tanah air mereka.

"Tiada sebab untuk kita mengalah dan penat memperjuangkan nasib penduduk Palestin kerana sehingga ke hari ini mereka masih bersemangat memperjuangkan tanah air mereka.

"Teruskan berdoa dan berkongsi berita Palestin dan kekejaman rejim Zionis," katanya.

Rakyat Malaysia yang ingin membantu Palestin boleh menyumbang seikhlas hati melalui https://emergency4gaza.com/kecemasan atau salurkan ke akaun rasmi Maybank CGM 564810507826 dengan menyatakan rujukan kecemasan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Disember 2023 @ 9:21 PM