KETUA Polis Filipina, Ronald Dela Rosa bertanyakan sesuatu pada 44 warga asing yang ditangkap kerana menculik wanita Singapura di sebuah resort di Manila, semalam.  - Reuters
KETUA Polis Filipina, Ronald Dela Rosa bertanyakan sesuatu pada 44 warga asing yang ditangkap kerana menculik wanita Singapura di sebuah resort di Manila, semalam. - Reuters
Agensi

Manila: Polis Filipina semalam berkata, mereka menangkap 44 orang warga China dan Malaysia berhubung kejadian menculik seorang wanita Singapura di sebuah kasino di sini.

Polis menemui mangsa, Wu Yan, 48, di sebuah kondominium sehari selepas dia diculik dua warga Malaysia, kata Setiausaha Rendah Jabatan Kehakiman, Erickson Balmes dalam satu kenyataan.

“Mangsa diculik dan dipukul serta diancam oleh penculik mereka yang menuntut bayaran sebanyak AS$180,000 (RM772,000) sebagai syarat untuk membebaskannya,” kata Balmes.

Dua warga Malaysia itu bersama dengan 42 suspek China ditangkap selepas Wu Yan diselamatkan akan dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan menculik.

Menurut Balmes, kumpulan itu juga dipercayai bertanggungjawab terhadap beberapa penculikan warga asing sejak beberapa bulan lalu.

Dia bagaimanapun tidak menjelaskan lebih lanjut mengenai penculikan itu atau apa yang terjadi kepada mangsa.

Filipina sejak beberapa tahun lalu cuba menarik penjudi warga asing untuk membina industri perjudian di negara itu dengan matlamat menyaingi Las Vegas dan Macau.

Bagaimanapun, laporan mengenai penculikan dan serangan terhadap sebuah kasino di Manila yang meragut nyawa 37 orang mencetuskan kebimbangan mengenai keselamatan.

Jurucakap antipeculikan polis Filipina, Abelardo Borromeo berkata, kumpulan penculik itu juga dipercayai sebahagian daripada sindiket peminjam wang haram yang beroperasi di Manila.

Dalam kejadian penculikan wanita Singapura itu, dua warga Malaysia dikatakan mendekatinya di sebuah kasino dan mengajaknya berjudi di sebuah kasino lain di kawasan itu.

Bagaimanapun, suspek sebaliknya membawanya ke sebuah kondominium, menahan, memukulnya dan menuntut wang tebusan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Julai 2017 @ 11:00 AM