SALIM menunjukkan keropok keping yang siap disusun untuk dimasukkan dalam bilik pengering untuk proses pengeringan di Kampung Mengabang Telung, Batu Rakit. FOTO Faizul Azlan Razak
SALIM menunjukkan keropok keping yang siap disusun untuk dimasukkan dalam bilik pengering untuk proses pengeringan di Kampung Mengabang Telung, Batu Rakit. FOTO Faizul Azlan Razak
Faizul Azlan Razak

Kuala Nerus: "Jika hari biasa dan bawah panas terik, saya hanya mengambil masa menjemur keropok ini sekitar empat jam sahaja untuk dikeringkan di atas jemuran," kata seorang pengusaha keropok keping, Salim Yusof di sini.

Menurutnya, apabila hujan atau sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) melanda memaksanya menunggu sehingga 10 jam untuk mengeringkan keropok dengan kaedah menjemur dalam bilik pengering atau bilik 'oven'.

Katanya, dia tetap memproses membuat keropok keping ikan tambang walaupun musim hujan sedang melanda untuk kelangsungan hidup dan permintaan daripada pelanggan dengan dibantu isterinya, Adibah Ali, 39.

"Terdapat juga beberapa pekerja akan ditugaskan untuk memproses keropok selagi bekalan ikan tidak terputus.

"Saya akan menggunakan bilik pengering yang dilengkapi beberapa kipas dan menghidupkan unggun api dalam bilik ini apabila tempat jemuran tidak dapat digunakan terutama musim hujan.

"Disebabkan ruang bilik pengering ini kecil menyebabkan saya terpaksa membuat dua sesi jemuran yang mana sekali dimasukkan sebanyak 70 kilogram (kg).

"Sekiranya musim panas terik, sebanyak 200 kg keropok dapat diproses dan hanya mengambil masa antara tiga hingga empat jam saja untuk dikeringkan," katanya yang ditemui di rumahnya di Kampung Mengabang Telung, Batu Rakit di sini.

Salim berkata, dia memproses keropok ikan tambang dengan memperoleh bekalan ikan dari Endau, Johor Bahru; Tok Bali, Kelantan dan Kuantan, Pahang.

Menurutnya, dia yang sudah menjalankan perusahaan keropok keping sejak 13 tahun lalu untuk pasaran tempatan dan seluruh negara termasuk Sabah serta Sarawak.

"Keropoknya juga sudah merentasi luar negara apabila ada pelanggan yang pulang ke kampung datang membeli keropok ikan tambangnya.

"Setakat ini proses yang kita lakukan sama ada menjemur di bawah terik matahari atau bilik pengering ini, kualiti keropok masih sama," katanya.

Salim berkata, harga yang dijual di pasaran serendah RM12 sepeket seberat 500 kg selain itu terdapat juga keropok segera, keropok baby serta sos pencicah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Disember 2023 @ 2:23 PM