Agensi

Jakarta: Seorang warga Indonesia yang berperang bersama-sama Negara Islam (IS) di Asia Barat memberi amaran, kumpulan itu sudah bersedia dengan senang hati untuk ‘memenggal seorang demi seorang’ askar Indonesia dalam usaha untuk melaksanakan undang-undang Syariah di negara paling ramai penduduk Islam di dunia itu.

“Kami mendengar khabar bahawa anda mahu membantu tentera bersekutu untuk menghapuskan kerajaan khalifah. Ketahuilah kami gembira mendengarnya. Kerana ini bermakna, Insya- Allah, pertemuan anda dan kami akan dipercepatkan Allah,” kata lelaki berkenaan dalam klip yang dimuat naik ke Youtube.

“Dan jika kamu tidak datang kepada kami, kami akan datang kepada kamu. Kami akan kembali ke Indonesia untuk melaksanakan undang-undang Allah. Pelaksanaan undang-undang Allah itu akan bermula dengan pelancaran perang terhadap kamu, dengan memenggal satu persatu tentera, polis, Densus (88) dan Banser,” katanya dalam klip sepanjang 4.01 minit itu.

Banser ialah sayap keselamatan Nahdlatul Ulama (NU), pertubuhan Islam terbesar yang terkenal kerana membantu gereja ketika cuti perayaan penganut Kristian dan masjid Syiah serta Qadiani.

Densus 88 pula ialah unit elit polis.

Menurut sumber Densus 88, lelaki dalam klip itu ialah Abu Jandal yang juga dikenali sebagai Salim Mubarok Attamimi.

“Salim sudah berada di Syria sejak Mac 2014. Ratusan warga Indonesia juga menyertai IS,” kata sumber yang enggan dikenali itu.

Salim berasal dari Malang, Jawa Timur. Bagaimanapun, sebelum berlepas ke Syria dia menetap di Kampung Ampel, kawasan di Surabaya yang menjadi tempat tinggal ramai keturunan Arab di Indonesia.

Pegawai perisikan Indonesia menganggarkan sekurang-kurangnya 300 warga negara itu menyertai IS dan ia masih menarik minat ramai lagi penduduk negara itu.

Salim secara khusus menyebut nama Jeneral Moeldoko, panglima tentera Indonesia dengan berkata, pegawai tertinggi tentera itu dilaknat oleh Allah.

Salim turut menyelar polis dan tentera Indonesia kerana mempertahankan Pancasila.

“Kami hanya meminta bantuan daripada Allah sedangkan kami berbangga kerana Amerika memihak kepada kamu. Tentera Allah menanti kamu,” katanya.

Indonesia mengisytiharkan IS pertubuhan pengganas dan mengharamkan penyebaran ideologi mereka di negara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Disember 2014 @ 5:09 AM