PELAJAR SM Imtiaz Yayasan Terengganu menerangkan ciptaan mereka kepada Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (tiga, kanan). FOTO Bernama.
PELAJAR SM Imtiaz Yayasan Terengganu menerangkan ciptaan mereka kepada Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (tiga, kanan). FOTO Bernama.
BERNAMA

Kuala Terengganu: Kerugian dialami pengusaha keropok keping yang tidak sempat mengalihkan jemuran setiap kali hujan, mendorong sekumpulan pelajar Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu Besut mencipta satu sistem untuk menangani masalah tersebut.

Sistem 'I Best Protection Device' (i-ProD) itu dihasilkan oleh empat pelajar Tingkatan Lima iaitu Muhammad Amzar Najmi Saharuddin, Wan Ahmad Nu'man Wan Saidi, Muhammad Imdad Abdul Salam dan Muqri Syamil Aiman Mazdi Amram.

Ketua kumpulan Muhammad Amzar Najmi berkata, mereka mengambil masa sebulan untuk menghasilkan prototaip i-ProD itu, dengan kos hanya RM49 menggunakan bahan seperti kotak, batang aiskrim, lidi, sensor hujan, straw terpakai dan beberapa alat sensor yang lain.

"Pada musim tengkujuh, ramai pengusaha keropok keping tradisional di Terengganu berdepan masalah, tidak dapat menjemur bahan makanan tersebut kerana hujan yang tidak menentu melambatkan proses pengeringan.

"Keistimewaan penggunaan sistem ini akan membolehkan pengusaha menjemur keropok keping mereka dengan lebih efisyen tanpa menggunakan tenaga pekerja yang ramai, malah risiko kerugian juga dapat diminimakan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Bernama di pameran inovasi sempena perasmian sambutan ulang tahun Jubli Emas Yayasan Terengganu yang dirasmikan Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di sini.

Tambahnya, hasil soal selidik yang dijalankan dengan pengusaha keropok keping mendapati 96 peratus mengakui i-ProD dapat dikendalikan dengan mudah dan berkesan, dalam menangani masalah yang sering dihadapi selama ini.

"Cuma, untuk kegunaan industri, modal permulaan bagi memasang i-ProD agak mahal namun ia berbaloi untuk penggunaan jangka masa panjang. Kami sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak yang berminat, untuk mengkomersialkan i-ProD untuk pasaran," katanya.

Selain Besut, Yayasan Terengganu mempunyai tujuh lagi sekolah menengah Imtiaz yang mempamerkan produk inovasi hasil penyelidikan mereka di majlis tersebut iaitu Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mei 2022 @ 9:28 AM