Hishammuddin Hussein dan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong, ketika sidang media selepas Majlis Pra-Pelancaran LIMA 2023. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Hishammuddin Hussein dan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong, ketika sidang media selepas Majlis Pra-Pelancaran LIMA 2023. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Isu tuntutan dikemukakan oleh Sekretariat Majlis Reunion Perjumpaan Bekas Perajurit tidak hanya membabitkan Kementerian Pertahanan (Mindef) sebaliknya juga beberapa kementerian lain.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, pihaknya sentiasa membela hak veteran dan mencari penyelesaian membantu mereka namun tuntutan dikemukakan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membabitkan kewangan negara.

"Saya harap semua pihak faham bahawa ini tidak berkisar kepada apa yang kita lakukan di Mindef kerana ini juga membabitkan peruntukan negara termasuk Jabatan Perkhidmatan Awam.

"Saya melihat bahawa ia (perhimpunan) tidak akan meminggirkan dan menidakkan usaha kita (Mindef) selama ini untuk sentiasa memberi pembelaan dan melihat kepada kedudukan veteran," katanya dalam sidang media pada Majlis Pra Pelancaran Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA'23) di Wisma Pertahanan, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas perhimpunan aman yang diadakan oleh Sekretariat Majlis Reunion Perjumpaan Bekas Perajurit di Tugu Negara, di sini, kelmarin.

Perhimpunan itu membawa lima tuntutan kepada pihak kerajaan antaranya menuntut pelarasan pencen, pelaksanaan pencen kepada veteran tidak berpencen, pengampunan kepada bekas tentera diberhentikan kerana salah laku, pencen anggota sukarela yang dikerah sepenuh masa serta mengkaji semula pencen hilang upaya veteran.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, dua perkara yang diumumkannya pada Sambutan Ulang Tahun Persatuan Veteran ATM ke-100 bulan lalu iaitu pembayaran pencen terbitan kepada balu dan panel penasihat untuk melihat kepada pendaftaran veteran sedang dalam perhatian kementerian.

Katanya, pihaknya konsisten dengan agenda pembelaan kira-kira 300,000 veteran ATM dan segala pertimbangan untuk membela mereka mesti mengambil kira jumlah yang besar.

Ditanya mengenai cabaran debat oleh Pengerusi Bersama dan Penasihat Undang-Undang Reunion Perjumpaan Bekas Perajurit Mejar (B) Mior Rosli Mior Mohd Jaafar, beliau berkata, ia tidak akan menyelesaikan isu.

"Itu bukan satu perkara yang baharu cumanya hari-hari nak berdebat pasal benda yang tak ada kesudahan, ia tak akan membantu kita mencari penyelesaian.

"Apa yang penting kita nak cari penyelesaian, kadang-kalanya ia tidak berkisar kepada kemampuan Mindef sahaja, kalau sekiranya berkait rapat dengan kemampuan kewangan negara, itu semua membabitkan ramai menteri dan kalau nak debat, baik debat dengan Kabinet," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Jun 2022 @ 5:05 PM