ASYRAF Wajdi ketika sidang media selepas Mesyuarat MKT UMNO di Menara Dato' Onn, Kuala Lumpur. FOTO Hairul Anuar Rahim
ASYRAF Wajdi ketika sidang media selepas Mesyuarat MKT UMNO di Menara Dato' Onn, Kuala Lumpur. FOTO Hairul Anuar Rahim
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Tiada perbincangan membabitkan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Isham Jalil dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rembia, Melaka Datuk Muhammad Jailani Khamis dalam mesyuarat MKT, malam ini.

Setiausaha Agung Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Isham sendiri tidak hadir dalam mesyuarat berkenaan dan tiada apa-apa isu dibangkitkan olehnya.

Katanya, tidak timbul apa-apa isu berkaitan Umno perlu bergerak solo dalam pentadbiran negara di dalam mesyuarat berkenaan.

"Ini kerana keputusan Kerajaan Perpaduan sudah dibuat oleh Majlis Tertinggi Umno mengenai keberadaan kita dalam kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat MKT Umno di Menara Dato Onn Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC), di sini, hari ini.

Terdahulu, Isham dipetik berkata, beliau bersedia dipecat sekiranya tindakannya menegur Umno termasuk membabitkan isu kerjasama dengan PH dan DAP.

Sementara itu, Asyraf berkata, antara perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan adalah langkah memperkukuhkan hubungan kerjasama Umno dengan rakan parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH) di semua peringkat termasuk negeri dan bahagian seluruh negara.

"Ia bagi memastikan kestabilan politik negara dan kemakmuran rakyat melalui Kerajaan Perpaduan seperti ketetapan Majlis Kerja Tertinggi Umno pada 23 November 2022 serta diabsahkan di Perhimpunan Agung Umno 2023 pada 10 Jun lalu.

"Selain itu, kita juga meminta seluruh pimpinan Umno yang menganggotai pentadbiran negara terutama menteri, timbalan menteri, pengerusi agensi serta syarikat milik kerajaan supaya memberi fokus agenda mensejahterakan rakyat yang sedang bergelut dengan kos sara hidup semakin meningkat," katanya.

Selain itu, pihaknya juga menyambut baik cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mewujudkan kembali Konvensyen Ekonomi Bumiputera.

"Umno menawarkan untuk mengurus selia penganjurannya seperti yang pernah kita laksanakan pada 1965 sehingga tertubuhnya MARA (Majlis Amanah Rakyat) setahun kemudian," katanya.

Dalam mesyuarat itu juga, beliau memaklumkan MKT membincangkan langkah penambahbaikan dan pemerkasaan parti berpandukan dapatan bedah siasat (post mortem) keputusan enam Pilihan Raya Negeri (PRN).

"Ia diperoleh daripada semua bahagian Umno seluruh negara termasuk sayap parti Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri.

"Kita mahu mengadakan Konvensyen Umno bahagian yang akan memfokuskan aspek pengukuhan organisasi parti.

"Ia juga bagi membumikan kefahaman ahli-ahli parti di peringkat akar umbi mengenai ketetapan dasar parti yang menyentuh soal prinsip serta hala tuju perjuangan parti dalam Kerajaan Perpaduan," katanya.

Menurutnya, MKT juga menyatakan penghargaan kepada seluruh jentera Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Simpang Jeram yang diketuai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.

"Mereka bekerja keras bagi memastikan kemenangan rakan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan daripada Pakatan Harapan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 September 2023 @ 12:22 AM