GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Pelaksanaan gaji minimum yang diperkukuhkan dengan dasar gaji progresif pekerja swasta serta kenaikan gaji penjawat awam dilihat mampu membantu merancakkan kembali ekonomi negara.

Untuk itu, Pengarah Program MBA Putra Business School (PBS) Prof Madya Dr Ahmed Razman Abd Latiff berkata, isu kenaikan tangga gaji pekerja swasta perlu ditangani dulu dengan komitmen semua pihak terutama majikan supaya cakna memberikan imbuhan setimpal dengan prestasi dilakukan pekerja mereka.

Katanya, kerajaan hanya boleh menggalakkan, namun tidak boleh memaksa majikan menaikkan gaji pekerja swasta kecuali pelaksanaan gaji minimum dan dasar gaji progresif sahaja.

"Masalah gaji pekerja memerlukan kerjasama semua pihak iaitu kerajaan yang melaksanakan dasar gaji progresif dan gaji minimum.

"Pada masa sama, majikan sektor swasta berperanan memastikan setiap pekerja mereka mendapat pampasan sewajarnya berdasarkan prestasi dan produktiviti mereka," katanya kepada Harian Metro.

Beliau mengulas bayangan kerajaan mahu meningkatkan gaji penjawat awam dan elaun pesara bermula 2024 selari dengan usaha merancakkan ekonomi negara sedangkan gaji pekerja swasta masih di takuk lama.

Mengulas lanjut, Ahmed Razman berkata, menerusi pelaksanaan dasar gaji progresif, pekerja swasta akan dapat menikmati kenaikan gaji terutama yang bergaji rendah di sektor tertentu.

"Kenaikan gaji pekerja swasta ini akan diberi majikan jika pekerja itu menaik taraf kemahiran mereka yang membolehkan mereka lebih produktif.

"Apabila pekerja semakin produktif, syarikat akan menjana pendapatan lebih tinggi yang akan menyumbang kepada keuntungan lebih tinggi sekali gus membolehkan majikan memberi gaji lebih tinggi kepada pekerja mereka yang produktif ini," katanya.

Katanya, majikan swasta juga harus mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.

"Dalam hal ini, mereka boleh beralih kepada pendigitalan dan automasi supaya lebih produktif dan mampu menggaji pekerja berkemahiran dengan gaji lebih tinggi," katanya.

Semalam, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil memberi bayangan kerajaan akan mengumumkan peningkatan gaji penjawat awam dan elaun pesara bermula 2024 selari dengan usaha kerajaan untuk merancakkan ekonomi negara.

Fahmi dipetik sebagai berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah menyemak dengan inisiatif berkenaan dijangka direalisasikan tahun depan.

Katanya, kerajaan juga sudah meluluskan Kertas Putih Cadangan Dasar Gaji Progresif sebagai usaha meningkatkan pendapatan pekerja di sektor swasta.

Ia selepas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli membentangkan Kertas Putih Cadangan Dasar Gaji Progresif minggu lalu bagi memastikan pekerja mendapat gaji lebih tinggi seiring peningkatan produktiviti.

Ia mengandungi tiga mekanisme utama iaitu dilaksanakan secara sukarela, berteraskan insentif dan peruntukan yang disuntik kerajaan dan tanggungjawab pekerja dalam meningkatkan produktiviti.

Pada sama sama sejak 1 Mei tahun lalu, Kementerian Sumber Manusia juga menguatkuasakan Perintah Gaji Minimum (PGM) 2022 dengan kadar gaji RM1,500 sebulan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Disember 2023 @ 1:29 PM