Anwar Ibrahim.
Anwar Ibrahim.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kerajaan digesa meneruskan pelaksanaan dasar gaji minimum tanpa tunduk kepada bantahan syarikat konglomerat, kata Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, ada syarikat besar yang membantah pelaksanaan dasar gaji minimum sedangkan mereka merekodkan keuntungan yang tinggi hasil daripada peningkatan produktiviti.

"Ada syarikat yang catat untung berpuluh bilion ringgit tetapi apabila cakap soal gaji minimum, bukan sahaja di pihak kerajaan, malah pihak swasta pun tidak bersetuju.

"Ada syarikat perladangan, pembalakan dan kelapa sawit yang untung begitu tinggi tetapi pulangan kepada golongan pekerja rendah dan sangat kecil," katanya ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Anwar, peningkatan upah di Malaysia masih berada di tahap yang lebih rendah daripada peningkatan produktiviti berbanding negara maju lain.

Justeru, beliau berharap agar kerajaan bertindak secara menyeluruh dan memberi ruang kepada proses rundingan yang membabitkan syarikat dan kesatuan pekerja dalam isu pelaksanaan dasar gaji minimum.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mac 2022 @ 5:49 PM