PENGERUSI Barisan Nasional, Datuk Seri Najib Razak bersama sebahagian barisan pimpinan kanan Barisan Nasional pada Majlis Pelancaran Manifesto Barisan Nasional Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) di Axiata Arena, Bukit Jalil. FOTO AIZUDDIN SAAD
PENGERUSI Barisan Nasional, Datuk Seri Najib Razak bersama sebahagian barisan pimpinan kanan Barisan Nasional pada Majlis Pelancaran Manifesto Barisan Nasional Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) di Axiata Arena, Bukit Jalil. FOTO AIZUDDIN SAAD
Che Wan Badrul Alias


JANJI Barisan Nasional (BN) meningkatkan gaji minimum pekerja melalui manifesto parti yang diumumkan kelmarin, disifatkan sebagai langkah yang cukup berani.

Aku janji diumumkan melalui inisiatif 'Dompet Rakyat' menerusi teras 'Kita Utamakan Ekonomi Hidup Rakyat' itu menyaksikan keyakinan BN menaikkan gaji minimum pekerja secara berperingkat kepada sekurang-kurangnya RM1,500 sebulan dalam tempoh lima tahun akan datang, berbanding RM1,000 sebelum ini.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan, berkata pengumuman itu secara tidak langsung menjadi cabaran ‘halus’€™ kepada majikan, selain mendorong ahlinya untuk bekerja keras melonjakkan produktiviti dan daya saing.

Ini kerana katanya, pertambahan 50 peratus kepada paras gaji minimum ditetapkan kini akan memberikan kesan sangat mendalam kepada kos perniagaan sektor swasta.

Justeru beliau berkata, hasrat itu jika dilaksanakan, perlulah dipastikan berdasarkan formula tertentu kerana tanpa pengimbangan tepat kepada peningkatan produktiviti, dibimbangi akan membebankan kos sedia ada dan kesan rantaian di pasaran termasuk inflasi serta harga barang.

"Jika ada pun kenaikan gaji minimum, perlulah dengan peningkatan produktiviti yang agak tinggi, maka walaupun dengan tempoh masa lima tahun ia masih sangat mencabar untuk meningkatkan pengeluaran mencapai sasaran produktiviti ini.

"Kita masih bergelut dengan purata 3.1 hingga 3.2 peratus peningkatan produktiviti sejak dua tahun lalu, ia masih jauh berbanding sasaran 3.7 peratus seperti ditetapkan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).

"MEF mencadangkan sistem penggajian mengikut kemahiran yang disijilkan seperti Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang secara tidak langsung akan meningkatkan nilai dan kemahiran pekerja tempatan supaya lebih produktif," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdul Halim Mansor, berkata secara asasnya pihak kesatuan menghargai usaha kerajaan menyenaraikan kenaikan gaji minimum itu sebagai sebahagian objektif dalam penentuan pilihan raya kali ini.

Katanya, rundingan gaji minimum itu memang dalam bidang kuasa Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) yang kelak perlu mempertimbangkan mengikut logik kemampuan majikan merealisasikan gaji RM1,500 kepada pekerja di semua 14 negeri dan sektor seluruh negara.

"Ia membabitkan tiga pemegang saham iaitu pekerja yang memang mahukannya (kenaikan gaji minimum), selain pihak majikan sama ada mampu atau tidak membayar gaji ini berikutan ia akan membabitkan pertambahan kos sehingga 70 peratus kerana meliputi kenaikan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan bayaran kerja lebih masa.

"Kerajaan turut terbabit apabila perlu menyediakan ruang kerja kepada kira-kira 500,000 rakyat yang tamat pengajian di institusi dan universiti, kerana kita tahu rakyat memerlukan kerja tetapi pasaran kini menawarkan peluang kerja sangat terhad.

"Kita harus memindahkan kebergantungan pekerja asing kepada pekerja tempatan supaya jika boleh 500,000 orang yang keluar institusi atau universiti ini didaftarkan dalam lapangan kerja dan digunakan untuk menggantikan tempat pekerja asing," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 April 2018 @ 5:56 PM