PWP  menggalakkan majikan yang layak  menerima insentif pekerja supaya mereka dapat dilatih semula untuk meningkatkan kemahiran.
PWP menggalakkan majikan yang layak menerima insentif pekerja supaya mereka dapat dilatih semula untuk meningkatkan kemahiran.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Persatuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) menggalakkan semua majikan terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk menyertai Dasar Gaji Progresif (PWP).

Presiden MEF, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, kerajaan sememangnya berhasrat untuk melihat kenaikan gaji yang lebih ketara terutama bagi pekerja yang berpendapatan RM4,999 sebulan dan kurang.

Katanya, bagi merealisasikan hasrat terbabit, kerajaan bersedia memberikan subsidi antara RM200 hingga RM300 sebulan selama 12 bulan kepada 1,000 majikan yang secara sukarela menyertai projek perintis PWP.

"Insentif yang ditawarkan bagi peringkat awal sebanyak RM200 sebulan dan RM300 bagi peringkat bukan penyertaan, dan RM300 bagi subsidi kenaikan tahunan dilihat menarik.

"Subsidi selama 12 bulan menelan belanja kerajaan kira-kira RM2 bilion, ia dijangka memanfaatkan 1.05 juta pekerja, dengan tambahan nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM3.3 bilion.

"Ia juga akan menyediakan caruman tambahan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM0.79 bilion, tambahan hasil cukai pendapatan sebanyak RM1.8 bilion dengan tambahan 37,529 pembayar cukai pendapatan baharu pada tahun pertama pelaksanaan.

"PWP bukan hanya mengenai menaikkan gaji pekerja dengan RM4,000 dan ke bawah sebulan, malah ia untuk menggalakkan majikan yang layak mengambil bahagian menerima insentif pekerja supaya mereka dapat dilatih semula untuk meningkatkan kemahiran.

"PKS juga dijangka akan mendigitalkan dan memodenkan proses dan operasi mereka. Kesemua inisiatif ini akan meningkatkan produktiviti dan menjadikan majikan lebih berdaya saing dan akan menyumbang dalam menjadikan Malaysia mencapai sasaran untuk menjadi negara ke-12 paling berdaya saing dalam indeks daya saing dunia," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, projek perintis PWP diperkenalkan dalam keadaan negara menghadapi cabaran ekonomi global yang tidak menentu di mana Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengunjurkan prospek pertumbuhan ekonomi dunia berkembang lebih perlahan sebanyak hanya 3.0 peratus pada 2023 dan dijangka lebih rendah pada 2024 (2.9 peratus).

Ditanya adakah dasar ini memberi beban kepada majikan, beliau berkata, kerajaan hanya mengumumkan bahawa subsidi akan diberikan untuk 12 bulan pertama dan akan mengambil kira subsidi selanjutnya bergantung kepada sumber kewangannya.

"Ini mungkin menghalang sesetengah majikan daripada mengambil bahagian. Sebaik sahaja kenaikan gaji diberikan akan kekal dan tidak boleh ditarik balik dan majikan perlu memastikan kenaikan gaji yang tinggi akan berkekalan dalam jangka masa panjang.

"Justeru, MEF mencadangkan bahawa subsidi tidak akan dihadkan kepada 12 bulan sahaja, subsidi perlu dilanjutkan untuk tempoh yang lebih lama dan kerajaan perlu menyatakan dengan jelas berapa lama subsidi itu akan diberikan bagi menarik lebih ramai majikan terutamanya PKS menyertai PWP secara sukarela.

"Selain itu, dasar 'siapa cepat dia dapat' mungkin menghalang keghairahan sesetengah majikan yang ingin terbabit secara sukarela dalam projek perintis PWP," katanya.

Syed berkata, terdapat lebih 800,000 majikan yang aktif dan berdaftar dengan KWSP, asas first come first serve perlu dikaji semula, sekiranya ramai majikan ingin mengambil bahagian tetapi tidak dapat berbuat demikian apabila kuota 1,000 majikan sudah dipenuhi.

Selain itu katanya, tidak disebutkan sebarang bantuan yang akan diberikan kepada majikan untuk melatih dan melatih semula pekerja untuk menjadikan mereka lebih produktif.

"MEF berpendapat bahawa kerajaan harus menanggung kos majikan yang menyertai PWP untuk menghantar pekerja mereka untuk dilatih dan dilatih semula bagi menambah baik kemahiran dan produktiviti mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Disember 2023 @ 6:00 AM