BERNAMA

Putrajaya: Model gaji progresif yang akan dibentangkan pada Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), bertujuan untuk meneliti kewajaran pelaksanaannya, kata Menteri Sumber Manusia V Sivakumar.

Beliau dalam satu kenyataan semalam berkata, ia juga untuk membuat ketetapan, sama ada untuk mengkaji model gaji itu atau mencari alternatif lain, bagi penambaikan sistem gaji sedia ada di Malaysia.

"Kerajaan masih belum memuktamadkan sama ada untuk menggunakan model gaji (progresif) berkenaan," katanya dan menambah, kerajaan juga sedar bahawa cadangan mengkaji model gaji progresif itu mempunyai kekangan dari segi pelaksanaannya.

Rabu lepas, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata, kertas dasar yang dibangunkan oleh Kementerian Ekonomi dan Kementerian Sumber Manusia, mengenai Dasar Gaji Progresif akan dibentang kepada MTEN pada Ogos depan.

Rafizi berkata, dasar itu bertujuan memastikan pertumbuhan gaji rakyat lebih sekata serta inklusif dan mendorong ke arah penjanaan pendapatan lebih baik.

Sivakumar berkata, model gaji progresif antara lain boleh membantu dalam mencari penyelesaian untuk memberi manfaat kepada kedua-dua pihak, di samping sistem upah yang dikaitkan dengan produktiviti yang dipromosikan oleh Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia sejak 2005.

Beliau berkata, Singapura sudah melaksanakan model gaji progresif, setelah membuat kajian selama lima tahun dan model gaji berkenaan hanya dilaksanakan dalam tiga subsektor sahaja.

Dalam pada itu, Sivakumar berkata, gaji minimum yang ditetapkan kerajaan akan dikaji sekurang-kurangnya sekali dalam tiap-tiap dua tahun.

"Hasrat kerajaan dalam penetapan gaji itu adalah supaya pekerja mendapat gaji yang setimpal dengan produktiviti kerja, kemahiran dan juga pengalaman mereka, dan pada masa sama majikan mendapat produktiviti dan keuntungan," katanya.

Namun, Sivakumar berkata, kerajaan juga akan melihat kewajaran model gaji yang lain, untuk memberi manfaat kepada pekerja dan juga majikan.

"Maka adalah wajar untuk kerajaan melihat kepada sistem gaji selain daripada pelaksanaan gaji minimum," katanya.

Gaji adalah hasil pendapatan seseorang individu setelah bekerja dalam satu tempoh waktu, manakala gaji minimum menurut Seksyen 2 Akta Majlis Perundingan Gaji Perundingan Gaji Negara 2011 ialah gaji pokok iaitu pendapatan asas yang tidak termasuk apa-apa elaun atau bayaran lain.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Julai 2023 @ 10:02 AM