RAJA Mohamed Affandi Raja Mohamed beramah mesra bersama warga emas. FOTO Ghazali Kori
RAJA Mohamed Affandi Raja Mohamed beramah mesra bersama warga emas. FOTO Ghazali Kori
Faizul Azlan Razak


Chukai: "Sebenarnya kita tidak kalah, tidak kalah dari segi semangat yang ada pada kita sebaliknya kita sudah berusaha dengan sebaiknya untuk memberi satu kemenangan kepada Barisan Nasional (BN).

"Dalam satu pertandingan jelas ada yang menang ada yang kalah. Kalah dalam hal ini kita melihat di mana kelemahan dan kekurangan kita," kata Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Beliau yang menjadi calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman semalam tewas dengan majoriti besar 37,220 undi kepada calon Pas Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Bekas Panglima Angkatan Tentera itu berkata, seharusnya perbetulkan untuk seterusnya maju ke hadapan untuk berperang atau bertempur sekali lagi.

Menurutnya, kalah kali ini tidak bererti kalah untuk selama-lamanya dan jangan tunduk dengan kekalahan ini.

"Kita harus berlapang dada menerima kekalahan kerana pengajaran ini akan menentukan kita akan berjaya di masa akan datang.

"Kepada jentera-jentera yang sudah bekerja dengan bertungkus-lumus untuk menentukan kejayaan BN, saya sebagai calon ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih di atas apa yang diberikan selama 14 hari untuk menentukan saya menjadi pemenang dalam pemilihan kali ini.

"Saya bangga dengan jentera-jentera yang ada dan saya tahu semangat yang ada itu tinggi.

"Justeru, kekalkan semangat itu dan jadikan ia mengukuhkan pada masa depan.

"

Jangan memandang ke bawah, pandang ke hadapan kerana cara itu sajalah kita akan menang pada masa depan," katanya di Facebooknya.

Raja Mohamed Affandi berkata, kepada pengundi yang mengundi beliau, setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kerana memberi kepercayaan kepadanya pada PRK kali ini.

"Undi yang diberikan kepada saya itu amat besar ertinya dalam saya menghadapi hari-hari akan datang," katanya.

Ahmad Samsuri memenangi PRK itu dengan majoriti 37,220 undi sekali gus melebihi 10,041 undi berbanding majoriti yang diraih sebelum ini, Che Alias Hamid yang memperoleh majoriti sebanyak 27,179 undi.

Dalam PRK semalam, Ahmad Samsuri mendapat 64,998 undi, manakala Raja Mohamed Affandi mendapat 27,778 undi.

PRK Kemaman diadakan susulan daripada keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu membatalkan kemenangan calon Pas Che Alias pada PRU-15.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Disember 2023 @ 1:33 PM