Oleh Nur Saliawati Salberi

Shah Alam: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) akan mengeluarkan laporan lengkap mengenai status projek mega Datum Jelatek untuk menyanggah dakwaan penduduk berhubung wujudnya unsur perkauman.

Menteri Besar Mohamed Azmin Ali berkata, dakwaan penduduk wujudnya unsur perkauman dalam pembinaan projek terbabit tidak betul.

Beliau juga Pengerusi PKNS berkata, projek mega Datum Jelatek tidak menjurus kepada perkauman dan PKNS akan meneliti bantahan dibuat penduduk.

“Walaupun kita ada kuota dalam sesuatu pembangunan, tetapi jangan jadikan itu sebagai satu sentimen yang boleh menghalang pembangunan di Selangor.

“PKNS akan keluarkan laporan bagi membuktikan sebaliknya dan dasar kerajaan negeri sendiri benarkan bantahan sebelum sesuatu pembangunan dibuat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Kerajaan yang turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Datuk Mohammed Khusrin Munawi, di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 January 2015 @ 9:49 AM