GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Alias Abd Rani


Muar: Empat penuntut Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) ditahan selepas polis menemui ganja dalam bilik penginapan di sebuah kolej kediaman di Pagoh, semalam.

Keempat-empat suspek berusia 21, 22, 24 dan 26 tahun termasuk mereka yang sudah di tahun akhir ditahan kerana disyaki mengedar bahan terlarang itu, pada jam 2.30 petang.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata sebelum penahanan kesemua suspek, polis menerima panggilan daripada seorang pengawal keselamatan di IPTA terbabit mengenai penemuan ganja seberat 304 gram (g).

Menurutnya, ganja itu ditemui dalam bilik di sebuah kolej kediaman ketika pengawal keselamatan terbabit membuat pemeriksaan.

"Pengawal keselamatan terbabit kemudian menghubungi Balai Polis Panchor memaklumkan perkara itu.

"Sepasukan anggota polis bergegas ke lokasi sebelum menemui bahan terlarang itu. Ujian saringan air kencing terhadap kesemua suspek juga mendapati mereka positif ganja," katanya ketika dihubungi.

Katanya lagi, polis masih menjalankan siasatan termasuk mengenal pasti dari mana bekalan ganja itu diperoleh.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa kepada hukuman mati atau penjara seumur hidup," katanya.

Sementara itu, keempat-empat suspek dibawa ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini bagi mendapatkan perintah reman untuk polis menjalankan siasatan.

Majistret Fatin Dalilah Khalid kemudian membenarkan kesemua suspek direman lima hari bermula hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 November 2023 @ 2:41 PM