ANTARA barang dirampas yang digunakan untuk tipu pelaburan dan pecah amanah. FOTO Ihsan PDRM
ANTARA barang dirampas yang digunakan untuk tipu pelaburan dan pecah amanah. FOTO Ihsan PDRM
Alias Abd Rani

Muar: Polis menumpaskan sindiket penipuan pelaburan dan judi dalam talian susulan penahanan tujuh individu dalam dua serbuan di kawasan perumahan di daerah ini, semalam.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata suspek terdiri empat lelaki dan tiga wanita berusia 21 hingga 37 tahun yang ditahan menerusi Op Pelican, pada jam 8.45 malam.

Beliau berkata, sindiket dipercayai beroperasi sejak sebulan lalu sekitar daerah ini dengan semua suspek akan diberikan komisyen bagi setiap pertaruhan dan mangsa yang berjaya ditipu.

"Dalam serbuan itu, polis merampas beberapa peralatan digunakan sindiket antaranya tujuh set komputer, telefon bimbit (25) dan alat kawalan jauh (1) selain turut merampas sebuah Toyota Vios.

"Semua suspek ditahan dan dibawa ke Mahkamah Majistret hari ini untuk mendapatkan perintah reman.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4 (1) (c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953," katanya.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret, semua tertuduh direman tiga hari bermula hari ini.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Fatin Dalilah Khalid bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Disember 2023 @ 4:09 PM