FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
BERNAMA

Kuala Lumpur: Majoriti pakar sektor tenaga dan ekonomi berpendapat pemberian subsidi bil elektrik secara bersasar merupakan langkah yang positif yang mana ia dilihat mampu membantu meringankan kos sara hidup rakyat.

Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) S Piarapakaran berkata, pemberian subsidi bersasar mampu membantu golongan yang memerlukannya dengan terus.

"Melalui kaedah ini, kerajaan akan dapat memberikan lebih banyak bantuan dengan peruntukan yang lebih rendah kerana ia bersasar.

"Penjimatan peruntukan dapat digunakan untuk perbelanjaan negara yang lain," katanya kepada Bernama.

Peningkatan kos harga bahan api serta komoditi lain menyebabkan perbelanjaan subsidi kepenggunaan negara meningkat kepada RM77.7 bilion bagi tahun 2022, iaitu merupakan jumlah tertinggi yang ditanggung oleh kerajaan setakat ini.

Pada masa ini, hampir 99 peratus pengguna domestik dengan penggunaan elektrik sebanyak 1,500 kilowatt jam (kWj) dan ke bawah (iaitu bersamaan dengan RM708 ke bawah) tidak akan terjejas dengan pelarasan tarif elektrik dan tetap akan menerima rebat sebanyak dua sen setiap kWj.

Ini adalah ekoran daripada keputusan kerajaan yang telah diumumkan baru-baru ini untuk menampung kos subsidi tarif elektrik berjumlah RM5.2 bilion bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Disember, 2023.

Menurut Pengarah Institut Dasar dan Penyelidikan Tenaga di Universiti Tenaga Nasional (Uniten) Dr Siti Indati Mustapa untuk memastikan kerajaan tidak terlalu terbeban, pemberian subsidi secara bersasar adalah mekanisme yang positif.

"Pemberian subsidi secara bersasar boleh menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia, terutamanya mereka yang berkemampuan, untuk melabur dalam sektor tenaga boleh baharu seperti tenaga solar," katanya.

Sementara itu, berkongsi pandangan sama, pakar ekonomi dan Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Pengajian Siswazah di i-CATS University College, Prof Datuk Dr Shazali Abu Mansor berkata, jumlah subsidi yang betul diberikan kepada kumpulan isi rumah dalam tempoh pemulihan ini akan membolehkan pengguna berbelanja untuk barangan lain sekali gus menggalakkan juga pertumbuhan ekonomi.

"Pada masa keadaan negara kita masih belum pulih sepenuhnya disebabkan pandemik Covid-19, sebarang bentuk subsidi dapat meringankan beban pengguna dan merupakan salah satu cara untuk merapatkan jurang 'prosperity income' antara golongan kaya dan miskin.

Dr Shazali berkata, pelaksanaan subsidi bersasar bil elektrik yang diberi mengikut penggunaan unit kilowatt jam (kWj) adalah paling ideal.

Beliau berkata, pendekatan kerajaan melaksanakan subsidi elektrik secara bersasar ini dapat mengingat serta menggalakkan pengguna untuk sentiasa berjimat dalam penggunaan elektrik dan secara tidak langsung memelihara alam sekitar.

"Merujuk kepada Laporan Tahunan Tenaga Nasional Bhd (TNB) pada 2020, lebih daripada 95 peratus penjanaan tenaga TNB bersumberkan arang batu dan gas," katanya.

Secara asasnya, penjimatan tenaga adalah wajar pada zaman kini dalam mengimbangi permintaan dan bekalan tenaga khususnya bagi negara yang bergantung kepada sumber arang batu dan gas.

Bagi Siti Indati pula, memandangkan elektrik merupakan keperluan asas rakyat, keputusan kerajaan yang menumpukan pemberian subsidi berdasarkan jumlah unit penggunaan elektrik seisi rumah berbanding hanya melihat kepada kumpulan pendapatan isi rumah semata-mata adalah tepat.

"Kajian yang menyeluruh wajar dijalankan untuk mengenal pasti berapakah keperluan minimum penggunaan elektrik sebenar untuk seorang individu di dalam rumah.

Siti Indati berkata, walaupun kerajaan telah mengumumkan pelaksanaan subsidi secara bersasar berdasarkan kepada penggunaan elektrik pengguna, namun kajian lanjut wajar dilakukan untuk mengenal pasti berapakah nilai ambang (threshold) keperluan asas elektrik yang sebenar bagi seorang individu untuk hidup di Malaysia dalam sebulan.

"Dari sini, kerajaan boleh menilai keperluan sebenar subsidi bagi seisi rumah dengan lebih efektif dan bersasar dalam jangka masa yang lebih panjang. Kerajaan wajar menggunakan nilai ambang (threshold) daripada kajian tersebut sebagai asas 'living electricity allowance' dalam memberikan kelayakan subsidi elektrik seisi rumah tanpa mengira pendapatan isi rumah tersebut." katanya.

Persoalan yang perlu ditanya di sini adalah 'apakah threshold yang wajar bagi rakyat Malaysia?'

"Seterusnya, struktur harga (pricing structure) perlu diperhalusi secara terperinci lagi bagi memastikan kesejahteraan rakyat Malaysia mendapatkan nikmat subsidi yang adil dan saksama," tambahnya.

Menurut beliau, untuk penggunaan elektrik yang melebihi nilai ambang ini, tarif elektrik tanpa subsidi menggunakan konsep 'tier' boleh dipertimbangkan (berdasarkan penggunaan elektrik berperingkat) bagi memastikan rakyat lebih berhemat dalam penggunaan tenaga elektrik dan meningkatkan kesedaran rakyat untuk penggunaan produk cekap tenaga seisi rumah.

"Seterusnya, penjimatan daripada pengurangan subsidi ini dapat disalurkan kepada golongan miskin yang memerlukan seperti melalui program Bantuan Rakyat Malaysia serta ke projek-projek untuk rakyat.

"Di samping itu, bagi memastikan pemberian subsidi kepada pengguna elektrik domestik dengan penggunaan sebanyak 1,500 kWj dan ke bawah kini tidak disalahgunakan, penggunaan teknologi 'big data' boleh dimanfaatkan untuk menganalisa maklumat penggunaan elektrik dan menyelia pemberian subsidi kepada golongan yang wajar menerima bantuan," katanya.

Menurutnya, pemasangan 'smart meter' yang diguna pakai boleh digunakan dalam pelaksanaan kajian yang lebih terperinci untuk mengenal pasti keperluan sebenar individu dalam isi rumah dan mendapatkan pola penggunaan rakyat Malaysia dengan lebih tepat.

Satu sistem laporan secara 'real time' untuk sebarang salah guna juga boleh diguna pakai. Sekiranya 'cost of fraud' tidak dilihat sebagai satu kepentingan, maka kemungkinan penyalahgunaan akan berlaku yang boleh menyebabkan ketirisan dalam pelaksanaan dapat dielakkan, tambahnya.

Siti Indati berkata, pemberian subsidi terutamanya pemberian subsidi bil elektrik secara amnya dapat mengurangkan beban terutama dalam keadaan sekarang yang mana rakyat terbeban dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.

"Walau bagaimanapun, pengurangan subsidi secara berperingkat atau beransur-ansur ini adalah satu langkah yang positif dan perlu disambut baik demi membantu kerajaan mengurangkan beban kewangan negara ke atas subsidi, mendidik rakyat mengamalkan amalan lestari dan mengurangkan penggunaan elektrik seisi rumah secara berlebihan.

"Namun, pelaksanaan mekanisme subsidi bersasar perlu dipantau dalam jangka masa terdekat ini bagi memastikan keberkesanannya terhadap ekonomi negara tanpa menjejaskan kesejahteraan dan keselesaan hidup rakyat untuk jangka masa panjang," katanya.

Bagi Piarapakaran, pemberian subsidi bersasar bil elektrik secara berterusan bergantung kepada situasi bekalan dan permintaan.

"Jika krisis tenaga disebabkan perang Rusia-Ukraine reda, kita masih mempunyai Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan rakan-rakan mereka yang digelar OPEC+ yang mengawal pengeluaran petroleum dan akan memastikan kosnya kekal tinggi.

"Selepas 2011, apa yang kami perhatikan adalah apabila kos petroleum mentah naik, ia akan diikuti oleh gas asli dan kemudiannya arang batu.

"Situasi ini sebenarnya menyebabkan kos bahan api dunia dikawal oleh organisasi catutan seperti OPEC, OPEC+ dan situasi perang di negara-negara pengeluar bahan api," katanya.

Maka, perancangan yang teliti dengan data yang kukuh perlu dilakukan oleh kerajaan supaya sebarang ketidaktentuan kos bahan api global tidak memberi impak yang mendalam kepada kos elektrik yang akhirnya akan meningkatkan kos sara hidup, tambahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Ogos 2023 @ 11:12 AM