Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membentangkan semula Bajet 2023. - FOTO NSTP
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membentangkan semula Bajet 2023. - FOTO NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Hong Leong Investment Bank (HLIB) menjangkakan perbelanjaan pembangunan akan dikurangkan daripada RM95 bilion di bawah Bajet 2023 sebelum ini kepada RM85 bilion.

HLIB menerusi nota semalam berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan isyarat kepada lebih ketelusan serta mengurangkan ketirisan dan antaranya Anwar mengarahkan kelulusan mutakhir projek tebatan banjir berjumlah RM7 bilion daripada keseluruhan peruntukan sebanyak RM15 bilion yang dilaksanakan melalui rundingan terus tanpa proses tender supaya diteliti semula.

"Secara hipotesis, sekiranya perbelanjaan pembangunan ini dikurangkan oleh kuantum andaian kami, sasaran defisit fiskal bagi 2023 akan dikurangkan daripada -5.5 peratus kepada -4.9 peratus.

"Secara umumnya, mengurangkan perbelanjaan pembangunan adalah negatif kepada pembinaan. Terdapat 77 peratus korelasi di antara perbelanjaan pembangunan dengan pembinaan nominal keluaran dalam negara kasar," katanya.

HLIB menjangkakan Bajet 2023 yang baharu akan dibentangkan semula antara Januari dan Februari tahun depan berikutan pembubaran Parlimen selepas tiga hari Bajet 2023 dibentangkan pada 7 Oktober.

Bank pelaburan itu turut meramalkan bahawa Bajet 2023 akan menangani isu kenaikan kos sara hidup terutamanya untuk kumpulan berpendapatan rendah berikutan perdana menteri menegaskan pemberian subsidi perlu bersasar berbanding secara menyeluruh.

HLIB menyenaraikan tiga item utama yang menikmati subsidi menyeluruh pada masa ini dan berpotensi untuk diletakkan di bawah mekanisme bersasar iaitu harga siling untuk RON95 dan diesel, tarif elektrik dan minyak masak.

"Bagaimanapun, memandangkan kebanyakan parti politik dalam kerajaan perpaduan ini adalah sama seperti sebelum Pilihan Raya Umum ke-15, mungkin perubahan adalah tidak terlalu drastik.

"Pemberian wang tunai yang berterusan hampir pasti walaupun penambahan peruntukan itu mungkin ternyata mencabar berikutan tabung kerajaan yang terhad," katanya.

Katanya inisiatif untuk sektor hartanah dijangka bersasar untuk kumpulan pembeli B40 dan M40 selain manfaat kepada pembeli kenderaan elektrik pula dijangka diteruskan.

"Mengenai alam sekitar, sosial dan tadbir urus, kita mungkin dapat melihat perincian mengenai cukai karbon serta insentif untuk kapasiti tenaga boleh baharu yang lebih besar," menurut HLIB.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Disember 2022 @ 2:05 PM