SETIAP hari Wan Muhd Jeffri mendayung perahu, pulang ke rumah di Kampung Tersang. FOTO Bernama.
SETIAP hari Wan Muhd Jeffri mendayung perahu, pulang ke rumah di Kampung Tersang. FOTO Bernama.
WAN Muhd Jeffri sentiasa memastikan kucingnya, Amat dan Melah dapat makan dan tidak terkesan banjir. FOTO Bernama.
WAN Muhd Jeffri sentiasa memastikan kucingnya, Amat dan Melah dapat makan dan tidak terkesan banjir. FOTO Bernama.
BERNAMA

Rantau Panjang: Seorang mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh, di sini sanggup mendayung perahu pulang ke rumah sejauh 100 meter setiap hari, semata-mata untuk memberi makan dua kucing kesayangannya.

Wan Mohd Jeffri Wan Mazlan, 30, berkata, kesemua ahli keluarganya sudah berpindah ke PPS berkenaan, namun dua kucing itu terpaksa ditinggalkan di rumah.

Dia yang tinggal di Kampung Tersang, di sini berkata, rumahnya belum ditenggelami banjir tetapi kawasan di sekeliling rumah sudah dinaiki air sedalam kira-kira satu meter.

"Saya sebenarnya mahu membawa dua kucing yang diberi nama Amat dan Melah ke PPS, tetapi bimbang mengganggu orang lain, jadi saya tinggalkan di rumah.

"Bagaimanapun, saya akan pastikan pulang ke rumah setiap hari bagi menjenguk haiwan kesayangan kami itu sekali gus melihat keadaan rumah yang ditinggalkan," katanya ketika ditemui Bernama hari ini.

Dalam pada itu, tinjauan ke PPS SK Tok Deh mendapati sebanyak 243 mangsa daripada 84 keluarga berlindung di PPS tersebut iaitu dari Kampung Tok Deh, Tersang dan Bendang Nyior.

Pengarah Pengurusan Bencana Negeri Kelantan Nik Mohamed Noor Nik Ishak berkata, keadaan banjir di negeri itu masih terkawal dan kesemua mangsa di kawasan terjejas akur dengan arahan perpindahan.

"Pihak berkuasa akan sentiasa memantau keadaan dan menasihatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi arahan sekiranya diminta berpindah.

"Kesemua agensi terutamanya Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam dan Jabatan Kebajikan Masyarakat akan bekerjasama dalam menangani musibah banjir," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 November 2023 @ 10:24 PM