FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Kerajaan Kelantan akan mengeluarkan beras tempatan dengan menggunakan jenama sendiri iaitu Beras Agro Darul Naim, mulai tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, kerajaan negeri akan menyediakan peruntukan khas untuk tujuan berkenaan.

"Untuk tahun depan iaitu 2024, kerajaan negeri sudah membuat peruntukan khas bagi membangunkan kilang padi dan beras di Meranti, Pasir Mas.

"Susulan itu kita akan mengeluarkan beras tempatan sendiri yang akan menggunakan nama Beras Agro Darul Naim," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Azhar Salleh (PAS-Pulai Chondong) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain ketika menjawab soalan berhubung langkah diambil kerajaan negeri dalam menghadapi isu dan cabaran keterjaminan makanan rakyat, Tuan Mohd Saripudin berkata, beberapa pendekatan sudah diambil kerajaan negeri.

"Antaranya kita menubuhkan Jawatankuasa Induk Sekuriti Makanan Kelantan yang dipengerusikan oleh Menteri Besar dan Jawatankuasa Kerja Sekuriti Makanan Kelantan yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Kelantan. Kedua-dua jawatankuasa berkenaan ditubuhkan Mei tahun lalu.

"Jawatankuasa ini membabitkan pelbagai agensi termasuk agensi kerajaan Persekutuan dan negeri dan pihak berkuasa tempatan

bagi menyelaras gerak kerja dan perancangan projek serta memperhalusi isu-isu berkaitan dan langkah-langkah penyelesaian yang sesuai bagi menangani isu berbangkit berkaitan keterjaminan makanan.

"Pada masa sama kita memberi insentif secara bersasar dan selektif kepada golongan sasar. Untuk tahun ini, Kelantan memperuntukkan sebanyak RM3.6 juta membabitkan 357 projek pertanian bagi tujuan ini," katanya.

Tamat

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 November 2023 @ 10:21 AM