Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail
Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail
Nor Fazlina dan Syaherah Mustafa


Kota Bharu: Kelantan tidak akan menghadapi situasi kekurangan makanan sekiranya berlaku krisis bekalan makanan memandangkan pengeluaran sumber utama seperti beras dan buah-buahan melebihi tahap sara diri.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar negeri, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, kerajan negeri mengambil langkah proaktif dengan menubuhkan Jawatankuasa Induk Sekutiti Makanan Negeri Kelantan dan Jawatankuasa Kerja Sekuriti Makanan pada 11 Mei lalu.

Katanya, jawatankuasa berkenaan membabitkan pelbagai agensi termasuk jabatan atau agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan serta wakil dari institusi pendidikan tinggi bagi memperhalusi isu-isu berkaitan serta langkah-langkah penyelesaian yang sesuai bagi menangani isu berbangkit.

"Berdasarkan data Status Kadar Sara Diri (SSL) 2020 menunjukkan, Kelantan berada dalam landasan yang tepat dalam menjayakan misi sebagai Jelapang Makanan Negara.

"Status SSL 2020 bagi sumber makanan bagi beras adalah 208 peratus, kelapa sebanyak 196 peratus, daging kambing serta bebiri (190 peratus), buah-buahan (117 peratus), sayur-sayuran (98 peratus) dan ikan adalah 93 peratus.

"Selain itu, beberapa langkah diambil seperti menyediakan peruntukan khas RM10 juta melalui Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Kelantan bagi pelaksanaan projek ternakan ayam pedaging tertutup semi automatik dan penternakan lembu secara integrasi di ladang sawit," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan Rohani Ibrahim (Pas-Tanjong Mas) pada sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan ke-14, hari ini.

Tuan Mohd Saripudin berkata, ternakan lembu secara integrasi dalam kawasan ladang sawit juga sudah dibangunkan oleh Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad di Paloh, Gua Musang.

"Malah, kerajaan negeri turut menyediakan kawasan jelapang padi baharu melalui Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Kelantan dengan kerjasama Kada bagi membangunkan Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB) seluas 100 hektar di Mukim Bunut Susu, Pasir Mas.

"Pengisytiharan Danau Tok Uban sebagai Zon Industri Akuakultur (ZIA) dilakukan dalam usaha menambah beberapa kawasan yang berpotensi sebagai ZIA yang baharu, seperti di Laguna Semerak.

"Kerajaan negeri juga meningkatkan proses pemindahan ilmu, teknologi dan teknikal kepada masyarakat melalui bengkel latihan seperti Agro Bio Class, Seminar Semarak Organik Al-Falah, Diskusi Organik dan pelbagai latihan lain," katanya

Katanya, kempen membabitkan masyarakat dipergiatkan dalam sektor pertanian, penternakan dan perikanan seperti program Dapur Hijau, Kempen Seed Community - Kempen Penghasilan dan Penyimpanan Benih Tanaman.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Julai 2022 @ 1:16 PM