MOHAMAD (dua kiri) diringi oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi, Tuan Saripuddin Tuan Ismail (kiri) menyampaikan bantuan kepada pesawah terjejas akibat banjir. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
MOHAMAD (dua kiri) diringi oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi, Tuan Saripuddin Tuan Ismail (kiri) menyampaikan bantuan kepada pesawah terjejas akibat banjir. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memperuntukkan RM50 juta bagi membantu petani, penternak, peladang dan nelayan yang terjejas banjir baru-baru ini.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata peruntukan menerusi Tabung Bencana Pertanian itu akan memberikan pampasan sehingga 50 peratus daripada nilai kerugian.

"Pada masa sama, Agrobank turut menyediakan kemudahan pinjaman kepada pengusaha agromakanan sehingga RM430 juta.

"Agrobank juga memberikan moratorium sehingga enam bulan kepada peminjam sedia ada yang terjejas banjir," katanya pada sidang media selepas Majlis Agro Madani Kelantan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan laporan KPKM Kelantan, laporan awal kerugian yang dialami sektor agromakanan di negeri itu sebanyak RM20.3 juta membabitkan seramai 1,875 orang.

"Ia membabitkan 10 daerah di negeri itu yang terjejas banjir termasuk Tumpat, Kota Bharu, Pasir Mas, Bachok, Tanah Merah, Machang dan Jeli,.

"Daripada jumlah kerugian sektor agro makanan di Kelantan, sebanyak RM11 juta membabitkan tanaman padi," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohamad berkata, selaras dengan konsep Keterjaminan Makanan Tanggungjawab Bersama, program pengukuhan keterjaminan makanan, ia bukanlah tanggungjawab KPKM semata-mata sebaliknya ia membabitkan peranan semua pihak.

"Menerusi Belanjawan 2024, sejumlah RM400 juta disediakan bagi pelaksanaan pelbagai inisiatif khusus dengan memberikan penekanan dan meningkatkan pengeluaran domestik dan kadar sara diri komoditi makanan utama.

"Daripada jumlah berkenaan, sebanyak RM150 juta diperuntukkan untuk kerjasama dengan kerajaan negeri dalam mengoptimumkan penggunaan tanah bagi meningkatkan hasil tanaman dan ternakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 January 2024 @ 12:18 PM