LEIKING
LEIKING
Lizam Ridzuan


PELAKSANAAN Dasar Automotif Nasional (NAP) 2020 dijangka menyumbang RM104.2 bilion kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) menjelang 2030.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Datuk Darell Leiking berkata, dasar 10 tahun itu (2020-2030) yang dilancarkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad adalah usaha Malaysia ke arah menjadi peneraju serantau dalam sektor pembuatan, kejuruteraan, teknologi serta pembangunan mampan dalam sektor automotif sejajar dengan Visi Automotif Nasional.

“NAP 2020 itu dijangka mewujudkan 323,000 peluang pekerjaan menjelang 2030 dengan kuantiti pengeluaran industri bagi kenderaan penumpang dan perdagangan disasarkan berjumlah 1.47 juta unit dan jualan keseluruhan industri sebanyak 1.22 juta unit,” katanya pada majlis pelancaran Dasar Automotif Nasional 2020 di sini, semalam.

Menurutnya, dasar itu bertujuan meningkatkan penyelidikan teknologi baharu, mewujudkan peluang pekerjaan terutama bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pembangunan proses pembuatan baharu, nilai rantaian dalam sektor automotif tempatan dan keseluruhan sektor mobiliti.

“Ekosistem sektor pembuatan dan selepas pasaran dalam industri automotif serta keseluruhan mobiliti akan diperkukuhkan, menumpukan kepada Kenderaan Generasi Akan Datang (NxGV), Mobiliti sebagai satu Perkhidmatan (MaaS) dan Revolusi Perindustrian 4.0 (Industri 4.0).

“Selain menyelaraskan dengan kemajuan teknologi terkini, NAP 2020 juga menambah baik dasar sedia ada dan pelaksanaan,” katanya.

Selain itu, menurutnya Miti juga menggalakkan penyertaan syarikat tempatan dalam rantaian bekalan domestik dan global yang menggalakkan aktiviti penyelidikan serta pembangunan serta kejuruteraan, membangunkan kapasiti tenaga kerja tempatan, menyediakan sokongan bagi projek kereta nasional serta meningkatkan kuantiti eksport, pelaburan dan pengeluaran tempatan.

NAP 2020 mempunyai tiga teras hala tuju iaitu teknologi dan kejuruteraan, pelaburan serta pengembangan pasaran.

Dasar itu berpusat kepada tiga strategi – pembangunan rantaian nilai, pembangunan modal insan dan keselamatan, alam sekitar serta kepenggunaan untuk menggalakkan penggunaan teknologi baharu yang lebih mesra alam sekitar.

Pelaksanaan NAP 2020 diperincikan dalam tujuh tujuh pelan hala tuju/pelan tindakan, yang akan terus dikaji semula dan dikemas kini untuk bergerak seiring dengan trend, teknologi dan permintaan global yang sentiasa berkembang, kata kementerian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Februari 2020 @ 7:01 AM